Dakwa DAP Terima Dana Asing: PAS Mahu Alih Isu Dana 1MDB   

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Tindakan PAS membuat laporan polis agar siasatan dibuat terhadap DAP yang didakwa menerima dana asing adalah semata-mata kerana mahu mengalihkan isu dana 1MDB yang dikatakan diterima oleh PAS daripada Barisan Nasional (BN) untuk kempen pilihanraya.

Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, beliau menganggap isu ini hanya berupa rekod atau CD (cakera padat) lama UMNO-PAS.

Katanya, DAP sedia memberi kerjasama bagi membantu siasatan berkenaan.

“Semua orang tahu sumber dan dana DAP… jadi, itu hanya rekod atau CD lama UMNO-PAS.

“Oleh itu, kita gesa polis untuk siasat segera laporan itu kerana DAP telus dan tiada benda yang nak disembunyikan,’’ katanya kepada pemberita di bilik mesyuarat Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Jumaat.

Dr Abdul Aziz seterusnya berkata, laporan polis berkenaan dibuat kerana dilihat seperti mahu mengalihkan isu dana 1MDB yang dikatakan diterima oleh PAS daripada BN untuk kempen pilihanraya.

“Dia sibuk nak cuba alih isu 1MDB yang diterima PAS … DAP tak ada benda nak disembunyikan.

“Jadi, kita gesa polis percepatkan siasatan terhadap perkara ini,’’ katanya.

Pada 14 Februari lalu, Pemuda PAS Perak menuntut pihak berkuasa membuka semula kes serta menjalankan siasatan berkaitan beberapa aduan serta dakwaan DAP menerima dana asing. 

Timbalan Ketua Pemudanya, Mohd. Hafez Sabri berkata, isu berkenaan telah memakan masa lama, malahan tiada sebarang tindakan segera dan tuntas bagi menyiasat dana-dana diterima oleh parti itu selama ini.

Menurut Mohd. Hafez, ia merujuk kepada pendedahan dibuat oleh bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng iaitu Mohamad Razali Abdul Rahman yang mendakwa DAP mengambil wang rasuah RM300 juta dari pihak Israel.

Selain itu katanya, bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kapten Abdul Rahmat Omar Tun Mohd. Haniff pernah membuat laporan polis terhadap pengasas Malaysiakini, Premesh Chandran dan Red Bean Army DAP dengan dakwaan menerima dana disalurkan oleh Open Society Foundations (OSF) milik George Soros.

Katanya, dakwaan turut pernah dinyatakan oleh bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bahawa DAP menerima dana segera dari negara-negara luar untuk membiayai pilihan raya.

Begitu juga dengan kenyataan Presiden International Republican Institute (IRI), Daniel Twining yang secara terbuka menyatakan bahawa pihaknya menyalurkan dana Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu