Kenyataan Rasmi Sahabat Alam Malaysia (SAM)

Reading Time: 2 minutes

KENYATAAN MEDIA

KELULUSAN PROJEK PEMBANGUNAN LADANG HUTAN SELUAS 400 HEKTAR DI HUTAN SIMPAN KLEDANG SAIONG DAN HUTAN SIMPAN BUKIT KINTA, DAERAH HUTAN KINTA MANJUNG SERTA DI LAIN-LAIN HUTAN SIMPANAN KEKAL DI NEGERI PERAK

Sahabat Alam Malaysia (SAM) kecewa dan membantah berhubung dakwaan Pihak Berkuasa Negeri telah meluluskan projek pembangunan ladang hutan di Hutan Simpan Kledang Saiong (HS Kledang Saiong) dan Hutan Simpan Bukit Kinta (HS Bukit Kinta), Daerah Hutan Kinta Manjung yang tular terutama di media sosial serta lain-lain projek pembangunan ladang hutan di negeri Perak.

SAM berpendirian, dasar berhubung penggalakan melaksana pembangunan ladang hutan (ladang monokultur) dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) perlu dimansuhkan.

Kebiasaannya, justifikasi dan alasan utama Pihak Berkuasa Negeri meluluskan sesuatu projek pembangunan ladang monokultur ialah kerana kawasan yang dikenal-pasti ditakrifkan sebagai hutan miskin atau hutan terosot.

Perlu diketahui bahawa sesuatu kawasan HSK di Malaysia menjadi hutan miskin atau hutan terosot bukan disebabkan oleh faktor semula-jadi tetapi disebabkan oleh faktor manusia terutama kegiatan pencerobohan dan penerokaan haram.

Ini ditambah pula kelemahan pihak berkuasa yang berkenaan yang gagal melakukan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kegiatan-kegiatan pencerobohan dan penerokaan haram di kawasan HSK.

Bagi menangani isu dan masalah hutan miskin atau hutan terosot dalam kawasan HSK, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) telah mewujudkan program-program silvikultur dan pembangunan hutan asli terutama tanaman menggaya dan restorasi / pemulihan kawasan terosot.

Berdasarkan kepada pemerhatian dan kajian lapangan oleh SAM sebelum ini, didapati kebanyakan kawasan pembangunan ladang monokultur tidak mematuhi kriteria-kriteria penubuhan ladang monokultur sebagaimana yang dilakukan di negeri Kelantan.

Antara dapatan pembangunan ladang monokutur yang tidak mematuhi kriteria-kriteria penubuhan ladang monokultur ialah:-

– bentuk muka bumi dan topografi yang berbukit tinggi;
– stok dirian pokok yang kaya (bukan hutan miskin);
– pemusnahan dan eksploitasi rizab sungai (zon riparian) (sebagai contoh di Hutan Simpan Gunung Besout [HS Gunung Besout], Daerah Hutan Perak Selatan);
– pencabulan kawasan tanah wilayah masyarakat Orang Asli; dan
– pemusnahan habitat dan koridor hidupan liar terutama mamalia besar seperti gajah dan harimau (sebagai contoh di Hutan Simpan Piah [HS Piah], Daerah Hutan Kuala Kangsar).

Apabila guna-tanah hutan di sesuatu kawasan HSK ditukar kepada pelaksanaan pembangunan ladang monokultur, menyebabkan fungsi kepelbagaian hayat hutan terjejas.

Ianya juga akan memberi kesan kepada pencapaian pengurusan hutan secara berkekalan yang menjadi teras dalam pengurusan hutan negara.

Sebelum sesuatu pembangunan ladang monokultur dalam HSK dilaksanakan, litupan hutan asal (hutan asli) akan diusahasil secara tebang habis.

Pengusahasilan secara tebang habis tidak tertakluk kepada ‘sustainable forest management’ bagi tujuan piawaian dan pensijilan hutan serta Catuan Tebangan Tahunan (CTT).

Adalah lebih wajar dan bersesuaian program pembangunan ladang monokultur dilaksana dan digalakkan di kawasan tanah kerajaan dan tanah milik terbiar.

Oleh itu SAM berharap Pihak Berkuasa Negeri dapat mempertimbang semula untuk membatalkan kelulusan program pembangunan ladang monokultur dalam kawasan HSK yang masih belum dilaksana dan yang masih dirancang.