Mahiaddin Memperbodohkan Rakyat Lantik Ahmad Faizal Penasihat PM

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Ketua Pembangkang Negeri Perak, Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata Perdana Menteri terus mensajikan lawak ‘slapstick’ yang cuba memperbodoh dan mempersendakan minda rakyat ketika rakyat menderita dengan masalah ekonomi.

“Terkini, beliau telah melantik Timbalan Presiden Bersatu sebagai Penasihat Khas bertaraf menteri. Semua pihak tahu bahawa watak YB Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu bekas Menteri Besar Perak yang digulingkan oleh EXCOnya sendiri.

“Jelas sekali pelantikan itu tidak mempedulikan kritikan yang telah disuarakan sejak banyak pihak sejak daripada awal lagi; betapa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional telah gagal dalam mentadbir negara dan membela nasib rakyat yang sedang dalam kesusahan,” menurut Aziz dalam satu kenyataan yang baru diterima lewat malam ini.

Tambahnya lagi, pelantikan itu menunjukkan betapa Presiden dan Timbalan Presiden Bersatu ‘dua kali lima’ dari segi kewibawaan dan karakter. Ketika presiden cuba bermain silap mata dengan majoriti yang beliau ada, timbalannya pula sehingga kini belum menjawab soalan berhubung dengan ijazah yang kononnya beliau perolehi dari
sebuah universiti di Australia.

“Adalah wajar untuk kita mengingatkan rakyat supaya menolak watak-watak seperti ini dalam PRU15 nanti,” ujar beliau.

Hari ini, Mahiaddin Mat Yasin mengumumkan melantik bekas Menteri Besar Perak yang telah digulingkan melalui undi tidak percaya sebagai penasihat kepada Perdana Menteri bertaraf menteri. Tindakan itu mendapat kecaman dari pelbagai pihak terutama dari pemimpin parti pembangkang.