UMNO Sepakat Tinggalkan Perikatan Nasional

Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA | UMNO telah mengambil ketetapan untuk menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional, menurut Presidennya, Dato’ Seri Dr. Zahid Hamidi dalam satu sidang media yang diadakan di sini petang ini.

“UMNO mengambil pendirian untuk berpihak kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan tidak akan memepertahankan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan PM Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang ternyata gagal di mata rakyat selaras dengan fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

“Kenyataan terbaru Perdana Menteri hari ini tidak menjernihkan masalah bahkan menyerlahkan kekhilafan kerajaan yang jelas telah menyanggah titah Yang DiPertuan Agong malah mempersendakan Baginda yang hakikatnya sudah beberapa kali Baginda menitahkan untuk semua ordinan darurat dibahaskan dan diungkaikan sebelum 1 Ogos 2021, bukan pada September 2021 iaitu persidangan parlimen yang akan datang,” kata Zahid.

Tambahnya, ia sejajar dengan perkara 1503 perlembagaan UMNO.

Zahid turut mengumumkan bahawa Majlis Tertinggi UMNO sebulat suara bersepakat menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional dan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin selaku perdana menteri. Beliau mendesak Mahiaddin meletakkan jawatan perdana menteri dan bertanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran kerajaan pimpinan beliau yang menyanggah titah Yang Di-Pertuan Agong.

Zahid berkata sejumlah surat akuan yang ‘mencukupi’ penarikan sokongan dari ahli-ahli parlimen UMNO terhadap perdana menteri telah dipersembahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong.

Turut bersama dalam sidang media tersebut ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Utama Mohamad bin Hassan, ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, bekas perdana menteri Najib Razak, ahli parlimen Pontian, Ahmad Maslan serta beberapa lagi ahli parlimen UMNO.

Tindakan terbaru UMNO itu dilihat telah meninggalkan kerajaan PN dalam keadaan terumbang-ambing. PN sangat bergantung kepada sokongan daripada ahli parlimen UMNO untuk kekal berkuasa.