Kuala Lumpur, 26 Jun 2024 – Majlis AIDS Malaysia (MAC) menyeru para pengamal media tempatan untuk lebih sensitif terhadap sentimen negatif atau prejudis yang mendiskriminasikan Orang Yang Hidup dengan HIV di lapangan media.
Seruan ini dibuat susulan daripada penerbitan artikel oleh sebuah akhbar tabloid terkemuka yang telah mendedahkan status HIV seorang wanita hamil yang sedang menjalani perbicaraan di mahkamah tanpa kerelaan beliau. Artikel yang diterbitkan pada 19 Jun 2024 itu telah menjadi buah mulut percakapan orang ramai serta tular di media sosial.
Pendedahan status HIV wanita berkenaan – yang dibuat dalam konteks perbicaraan kes jenayah yang sedang berlangsung pada ketika itu – secara tidak langsung telah membina konotasi negatif terhadap komuniti Orang Yang Hidup dengan HIV. Situasi ini dikhuatiri akan menggalakkan lagi stigma dan diskriminasi terhadap komuniti ini.
” MAC, yang mewakili suara lebih daripada 70,000 ODHA di seluruh negara, mendukung harapan besar agar semua pihak dapat memberi kerjasama untuk menghentikan stereotaip negatif terhadap golongan ODHA di dalam media. “
” Malaysia kini sedang bergelut dengan penularan HIV secara transmisi seksual, di mana ramai individu berisiko tinggi yang tidak sedar dengan status HIV mereka dan malu untuk tampil ke hadapan bagi menjalani saringan kerana stigma dan diskriminasi. Isu yang sama juga telah menghalang ramai ODHA dari memulakan rawatan dan memencilkan diri kerana masih sangsi dengan penerimaan masyarakat.” menurut Profesor Madya Dr Raja Iskandar Shah bin Raja Azwa, Presiden Majlis AIDS Malaysia.
” Saranan kami ini adalah selari dengan matlamat dan aspirasi Pelan Strategik Nasional bagi mengakhiri AIDS menjelang tahun 2030 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, yang di antara lain, menekankan penglibatan media untuk membina persekitaran yang kondusif bagi mengurangkan stigma dan diskriminasi dan meningkatkan akses kepada rawatan dan jagaan HIV.” Ujar beliau lagi.
Wartawan mempunyai tanggungjawab sosial yang besar dalam memberikan informasi yang tepat, bermanfaat dan sesuai untuk pembangunan masyarakat yang mampan dan sejahtera. Justeru, MAC memohon sokongan para pengamal media tempatan untuk bertindak dengan lebih berhemah dan mematuhi kod etika kewartawanan dalam liputan yang melibatkan komuniti ODHA.
” MAC sedang merancang untuk mengadakan program pemekaan HIV dan AIDS bersama pengamal-pengamal media di negara ini, di mana objektif utama program ini adalah untuk melatih pengamal media dengan teknik penulisan / perencanaan yang lebih beretika dan tidak mendiskriminasikan ODHA dan anggota komuniti populasi terpinggir. Selain itu, kami juga ingin berkongsi maklumat tentang kejayaan advokasi dan pembangunan polisi-polisi baharu yang mesra ODHA, serta perkembangan terbaharu dalam teknik pencegahan dan sains rawatan HIV.” Tambah beliau.