Mampukah PH Cipta Sejarah Rampas Kerusi Cameron Highlands Dari BN?

Reading Time: 4 minutes

Penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highland yang bermula hari ini menyaksikan pertandingan empat penjuru sekaligus memperlihatkan Pakatan Harapan (PH) mahu mencipta sejarah pertama kali merampas kerusi Parlimen Cameron Highland dari Barisan Nasional (BN).

Bagi pemerhati politik, umum sebenarnya lebih memberi fokus pada PRK parlimen itu kali ini di antara PH dan BN selain menganggap dua calon bebas sebagai mahu `mencuba nasib’ sahaja tidak lebih daripada itu.

Namun segalanya boleh berlaku di saat kegairahan pengundi di waktu ini sekiranya salah seorang calon bebas ini mampu membuat kejutan kerana penentuannya terletak kepada kebijaksanaan pengundi di kawasan parlimen itu.

PH mempertaruhkan calonnya seorang peguam M. Manogaran manakala BN pula mencalonkan anak jati Cameron Highland, Ramli Mohd Nor yang juga amat dikenali dalam kalangan masyarakat Orang Asli di kawasan parlimen itu. Dua lagi calon bebas adalah Sallehuddin Ab Talib dan seorang peniaga Wong Seng Yee.

Penamaan calon yang berlangsung di pusat penamaan calon SMK Sultan Ahmad Shah pagi tadi turut dilihat kehadiran Presiden MyPPP M Kayveas di luar pusat itu namun beliau tidak memasuki pusat penamaan itu.

Sebaliknya, beliau yang sempat bertemu dengan presiden Umno, Mohamad Hasan sambil berpelukan memberitahu media bahawa beliau tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Kyveas juga membuat kejutan apabila mengumumkan akan menyokong untuk memenangkan calon PH.

“Saya dengan ini mengumumkan bahawa saya tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil ini, saya akan secara terbuka dan agresif menyokong calon Harapan.

“Harapan adalah apa yang Cameron Highland perlu untuk melihat perubahan yang diperlukan selama bertahun-tahun.” ujarnya.

BN telah memutuskan untuk memecahkan tradisi dengan tidak meletakkan calon dari MIC dalam pertandingan itu dan sebaliknya akan meletakkan Ramli Mohd Nor, yang bukan ahli mana-mana parti gabungan BN.

Ramli, anak tempatan dan bekas pegawai kanan polis, dianggap calon pilihan untuk memenangi pertandingan itu kerana beliau dijangka mendapat sokongan pengundi Melayu dan Orang Asli, yang merupakan kira-kira separuh daripada jumlah pengundi.

Pakatan Harapan pula meletakkan M Manogaran, seorang peguam yang membuat cubaan ketiga untuk memenangi kerusi Cameron Highland.

BN telah memenangi kerusi Cameron Highland pada tahun 2013 dan 2018.

Pada PRK Parlimen Cameron Highland ini, Manogaran dijangka melalui cabaran hebat kerana berdepan pesaingnya anak jati Cameron Highland dari BN yang juga bekas Penolong Pesuruhjaya Polis, Ramli Mohd Noor.

Ramli merupakan seorang pegawai tinggi polis masyarakat Orang Asli dalam sejarah negara.

Masyarakat Orang Asli merupakan 20 peratus daripada penduduk Parlimen Cameron Highland diikuti 34 peratus Melayu, 30 peratus Cina dan 15 peratus India.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataannya baru-baru ini menggesa pengundi tanah tinggi itu (Cameron Highland) mencipta sejarah buat kali ketiga pada kali ini dengan memenangkan calon PH, M. Manogaran pada PRK 26 Januari nanti.

Menurut beliau, Malaysia mencipta dua sejarah tahun lepas dimana buat kali pertama BN kecundang pada PRU14.

“Sejarah kedua pula apabila Mahkamah Pilihan Raya memutuskan kemenangan calon MIC dari BN, C Sivarrajh sebagai Ahli Parlimen Cameron Highland sebagai tidak sah kerana wujud amalan rasuah dan politik wang,” katanya.

Menurut Lim, sekiranya Manogaran dipilih pengundi memenangi PRK ini, PH berpeluang besar untuk menawan kerajaan negeri Pahang pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, menawan Pahang bukan satu perkara mudah namun ia bukan perkara mustahil.

Bagi Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, beliau optimis kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dalam menerajui kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyakinkan PH memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highland 26 Januari ini.

Beliau yang juga Pengerusi PH Perak berkata, walaupun calon PH berdepan tentangan sengit daripada calon-calon lain terutama BN namun ia tidak menjejas peluang PH untuk memenangi kerusi parlimen itu.

Ahmad Faizal juga menolak dakwaan kononnya Parlimen Cameron Highland selama ini dianggap kubu kuat BN kerana yakin dan percaya pengundi di kawasan parlimen itu memberi sokongan dan keyakinan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dalam menerajui negara.

Menurutnya, bersandarkan keputusan PRU14, jumlah undi yang dimenangi calon BN bagi kerusi Parlimen Cameron Highland tidak jauh berbeza apatah lagi Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan calon BN dari MIC, Sivarrajh terbatal dan tidak sah selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

“Keyakinan dan sokongan rakyat termasuk pengundi di kawasan Parlimen Cameron Highland terhadap kepimpinan Tun Dr Mahathir dalam menerajui kerajaan PH hari ini memberikan indikasi PH bakal memenangi pilihan raya kecil itu,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.

Timbalan Pengerusi DAP Pahang M. Manogaran diumum sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highland, 26 Januari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengumumkan perkara itu yakin Manogaran, yang sebelum ini merupakan calon kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, akan berjaya mendapat sokongan pengundi dan masyarakat Cameron Highland.

“Kita akan menang dalam PRK ini, InsyaAllah kita akan menang.

“Kita tidak tahu siapa yang nak bersaing dengan kita, namun siapa pun yang akan bertanding kita percaya dapat atasi pencabar lain,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Kuala Lumpur Jumaat lalu.

Pada 4 Jun tahun lepas, Manogaran memfailkan petisyen memohon perisytiharan bahawa keputusan PRU14 bagi kerusi Parlimen Cameron Highland yang disandang Datuk C. Sivarraajh daripada Barisan Nasional (BN) terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada 30 November 2018, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Sivarraajh terbatal dan tidak sah selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Pada 28 Disember, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan Sivarraajh, yang merupakan Naib Presiden MIC, tidak layak bertanding dalam PRK berkenaan.

Pada PRU14, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highland dengan memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran dari PKR dengan 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud dari PAS (3,587 undi); Mohd Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B. Suresh Kumar daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) (680 undi).

SPR menetapkan 12 Januari bagi penamaan calon PRK itu manakala hari mengundi awal 22 Januari dan hari pengundian 26 Januari.