Rabies: Pemilik Anjing Digesa Bawa Anjing Dapatkan Suntikan

Reading Time: 2 minutes

GOPENG: Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan pentingnya pemilik-pemilik anjing di mukim Taiping, Daerah Larut Matang dan Selama segera membawa anjing peliharaan mereka untuk mendapatkan suntikan bagi mengawal penularan wabak Rabies.

Menurut beliau, Jabatan Veterinar Negeri Perak sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menangani kes anjing liar yang berisiko pembawa wabak Rabies.

Katanya, kes penularan wabak Rabies pernah berlaku di negeri ini yang dipercayai berpunca dari tempat lain dan mereka ke kawasan utara Perak.

“Kawasan Larut Matang dan Selama pernah dijangkiti wabak ini dan sekarang berlaku sekali lagi … bagaimanapun kita sedang mengambil tindakan untuk menanganinya,” kata Ahmad Faizal.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Rumah Mesra Milik, Naluri Perdana Gopeng, pada Selasa.

Semalam, Mukim Taiping dan Bukit Gantang di daerah Larut Matang dan Selama (LMS) diwartakan sebagai kawasan jangkitan rabies susulan empat sampel diambil didapati positif wabak itu.

Ketua Pengarah PerkhidmatanVeterinar, Datuk Dr. Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, ujian itu dilakukan selepas pihak Jabatan Veterinar menerima maklumat daripada pengadu di Taman Sri Kota Fasa2, Taiping 3 Disember lalu.

Untuk rekod, kes wabak Rabies ini merupakan kali kedua berlaku di kawasan Larut Matang dan Selama dengan diwartakan wabak itu pada 17 Julai 2017, susulan satu kes dilaporkan di Kuala Sepetang pada 4 Julai tahun berkenaan.

 Terdahulu pada sidang media yang sama, Ahmad Faizal berkata, sebanyak 1,112 unit rumah mesra milik untuk anak Perak dari golongan B40 bakal dibina di atas tanah seluas 88 hektar melalui kerjasama Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) dan MK Land Holdings Berhad.

Katanya,  51 peratus jumlah kediaman akan dibina dan ditawarkan dengan harga bermula RM70,000 hingga RM250,000.

Menurut beliau, tawaran berkenaan sekaligus memberi peluang kepada mereka yang berpendapatan bulanan isi rumah RM1,800 hingga RM3,800 memiliki rumah pertama mereka.

Ahamd Faizal berkata, kerjasama itu melibatkan pembangunan seluas 88 hektar dengan jumlah keseluruhan 2,166 unit rumah dan 155 rumah kedai serta prasarana lain.