Virus Rabies: Pemilik Anjing Boleh Didenda Atau Penjara

Reading Time: < 1 minute

Pemilik anjing di sekitar Taiping dan Bukit Gantang tidak dibenarkan membawa haiwan peliharaan mereka keluar dari daerah Larut Matang dan Selama tanpa kebenaran dari Pengarah Perkhidmatan Veterinar Perak.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Pengarah Veterinar Perak, Dr. Ahmad Shafri Hassan ekoran keputusan kerajaan negeri mewartakan daerah tersebut sebagai kawasan jangkitan virus Rabies Isnin lalu susulan daripada empat ekor anjing daripada kawasan tersebut disahkan positif Rabies oleh Institut Penyelidikan Veterinar (VRI). 

“Pemilik atau individu yang bertanggungjawab terhadap anjing dalam kedua-dua mukim itu hendaklah menyimpan anjing di bawah kawalan ketat dengan mengurung dalam kawasan tertutup, yang tidak membolehkan ia melepaskan diri.

“Semua anjing berumur tiga bulan dan ke atas yang berada dalam kawasan Mukim Taiping dan Mukim Bukit Gantang hendaklah diserahkan kepada Pihak Berkuasa Veterinar untuk disuntik dengan vaksin penyakit anjing gila,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.

Mereka yang tidak mematuhi langkah-langkah kawalan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM5 ribu atau penjara tidak lebih dari 3 bulan di bawah Akta Binatang 1953.

Setakat ini, belum ada kes Rabies dalam kalangan manusia yang dikesan di Taiping dan Bukit Gantang.

Namun demikian, orang ramai diminta melaporkan kepada Pejabat Veterinar atau pihak berkuasa tempatan jika mendapati terdapat anjing liar berkeliaran di sekitar kediaman mereka di talian 05-8072703.