Menanti Tahun Baharu Penuh Bermakna

Reading Time: 3 minutes

Kita masih berada di awal Tahun 2019 Masehi bersamaan 1440 Hijrah; bererti sudah lapan bulan Malaysia ditadbir oleh kerajaan baharu setelah PRU14. Sehingga kini, pelbagai inisiatif telah dilakukan bagi memulihkan ekonomi negara akibat kekangan kewangan.

Berdasarkan Belanjawan 2019, kerajaan memperuntukan RM314.5 bilion bagi merancang pelbagai aspek kebajikan rakyat. Untuk kembali berada dalam zon ekonomi selesa pasti memerlukan masa yang agak panjang. Namun, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, hak terhadap rakyat perlu dilunaskan khususnya berkaitan meringankan kos sara hidup.

Bagi kumpulan B40 yang berjumlah 4.1 juta orang bakal menikmati beberapa inisiatif kerajaan boleh menarik nafas lega. Bantuan Sara Hidup (BSH) yang berjumlah RM500 hingga RM1000 dan Skim Perlindungan Nasional B40 yang melibatkan perlindungan insurans dan takaful kesihatan secara percuma sangat besar maknanya. Begitulah juga dengan Bantuan Awal Persekolahan RM100 untuk keluarga berpendapatan RM3000 ke bawah. Sebelum itu, kerajaan telah pun mengumumkan bantuan khas kepada pekebun kecil getah dan kelapa sawit bagi meringankan beban mereka akibat kejatuhan harga kedua-dua komoditi tersebut.

Tidak ketinggalan beberapa inisiatif lain seperti pengurangan tarif bil elektrik, bil air dan pengapungan harga petrol dan diesel beserta subsidi bagi yang layak. Bagi menggalakan penggunaan pengangkutan awam pula, kerajaan memperkenalkan Pas Bulanan RM100 tanpa had perjalanan bagi perkhidmatan rel dan bas RapidKL. Selain membeku kenaikan kadar tol di lebuh raya, kerajaan juga memansuhkan tol motosikal di jambatan pertama dan kedua Pulau Pinang serta Laluan Kedua di Johor.

Bagi rakyat, semua ini disambut dengan senyuman dan rasa kesyukuran. Ternyata, kerajaan beriltizam untuk melihat keselesaan dan kesejahteraan rakyat sekalipun terpaksa menanggung kos yang tinggi. Sebagai contoh, sebanyak RM2 bilion diperuntukan untuk Skim Perlindungan Nasional B40 bagi 36 jenis penyakit kritikal kepada 4.1 juta orang, manakala RM328 juta bagi penerima Bantuan Awal Persekolahan.

Begitulah juga beberapa isu lain seperti masalah perumahan di bandar, pengangkutan awam, keselamatan jalan raya, pengangguran dan harga barangan serta keperluan harian tarus menjadi perhatian serius pihak kerajaan dari semasa ke semasa.

Untuk peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN) pula, haruslah bersabar kerana kerajaan masih mencari mekanisme yang adil. Justeru, peminjam perlulah bersabar dan memberi masa kepada kerajaan melunaskan manifesto 100 Hari itu. Sejak tahun 1997, jumlah peminjam mencecah tiga juta orang dan melibatkan hampir RM69 bilion. Demi kelangsungan peminjam lain, adalah lebih baik PTPN melonggarkan kadar bayaran mengikut pendapatan bulanan peminjam.

Selain memulihkan ekonomi, kerajaan juga berdepan dengan cabaran lebih besar iaitu menutup lompong jurang perkauman. Perkara penting di sini ialah berusaha menutup serapat-rapatnya pintu perselisihan dan persengketaan antara kaum di negara ini. Pihak kerajaan perlu memastikan tragedi seperti Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya tidak berulang kembali. Tindakan tegas melalui undang-undang perlu dilakukan demi keharmonian dan keamanan negara. Tiada lagi kompromi kepada mereka yang cuba mencetuskan provokasi dan ketegangan kaum di negara ini.

Oleh itu, sebagai mana manifesto Pakatan Harapan, Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat perlu diwujudkan secepat mungkin.bagi  merangka pelan pembentukan masyarakat pelbagai kaum yang harmonis dan moderat.

Selain itu, daripada bertelagah berkaitan keperluan Pilihan Raya Tempatan, adalah lebih baik memberi tumpuan kepada aspek keselamatan harian rakyat. Dalam hal ini,  jenayah perlu dibendung dengan menerapkan Konsep Bandar Bebas Jenayah dan Kampung atau Taman Bebas  Jenayah dalam setiap kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Rondaan oleh anggota polis di kawasan berisiko berlakunya jenayah perlu dilakukan lebih kerap di samping peranan pihak awam membantu mencegah jenayah melalui saluran yang disediakan.

Satu aspek lain yang perlu diberi perhatian ialah kesepaduan kepimpinan poltik. Dalam hal ini, para wakil rakyat yang mendapat mandat perlulah membawa suara rakyat bukannya sibuk memikirkan lompat parti atas apa alasan sekalipun. Para pemimpin politik tidak perlulah lagi saling menuding jari, membongkar kelemahan dan mengaibkan individu atau kelompok tertentu demi kepentingan cebisan politik yang tiada kesudahan. Berpolitiklah secara matang dan jadikan Dewan Rakyat, Dewan Negara, dan Dewan Undangan Negeri sebagai tempat musyawarah menyelesaikan masalah rakyat.

Tegasnya, para politikus tidak perlulah lagi menghidangkan rakyat dengan aksi-aksi mual yang tidak menguntungkan rakyat dan negara. Janganlah lagi bermadah dan beretorik dan berpolemik di sana sini untuk mencari sokongan atau meraih simpati. Fokuslah kepada tanggungjawab yang dipikul itu sehingga PRU15 dengan sempurna.

Yang penting, tahun 2019 adalah tahun membuktikan komitmen kepimpinan negara menunaikan sebaik mungkin manifesto yang dijanjikan. Usah biarkan rakyat tertunggu-tungu dan akhirnya melebelkan kerajaan hanya menanam tebu di bibir sahaja. Andai tidak ditunaikan, natijahnya pasti menjelma dalam PRU-15, sebagai mana pernah diingatkan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin: “Kalu tak jaga, PRU akan datang tukar kerajaan. Ini memang hak rakyat”.

Bukan sahaja perancangan yang digariskan melalui Bajet 2019 perlu dilaksanakan dengan telus dan penuh integriti, malah kerajaan wajar merangka program yang dapat mengubah minda masyarakat ke arah kelas pertama.

Ingatlah kepada dua firman Allah SWT yang bermaksud: Apabila kamu berazam (membulatkan tekad), maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang bertawakal kepada-Nya (Ali Imran: 159), dan, maksud ayat 11 Surah ar-Rad: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubahnya”.


Oleh Ibrahim Ahmad dan Syahidatul Akmar Safian

Ibrahim Ahmad dan Syahidatul Akmar adalah Pensyarah Jabatan Pengajian Umum UniKL Royal Collage of Medicine Perak (RCMP). Tulisan ini adalah pandangan peribadi kedua-duanya dan tidak semestinya mewakili pihak Independent.