Maut Dilanggar Lari, Hasrat Langsung Perkahwinan Tak Kesampaian

Reading Time: < 1 minute

IPOH, 26 Sept — Hasrat seorang konstabel polis untuk melangsungkan perkahwinan Februari depan tidak kesampaian apabila meninggal dunia selepas terlibat dalam kejadian langgar lari di Jalan Hala Pegoh 11, Desa Pakatan Lahat di sini, hari ini.

Mangsa, Mohamad Riezal Izani Shakri, 24, yang bertugas di Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Buntong di sini dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta pada jam 12.32 tengah hari.

Rakan sebalai mangsa, Korperal Azmi Mahmud, 49, berkata, Allahyarham Mohamad Riezal Izani telah merancang untuk bercuti selama seminggu mulai esok bagi membeli kelengkapan perkahwinan.

“Arwah seorang yang sangat baik, bukan sahaja dengan orang atasan malah rakan lain. Beliau juga seorang yang ringan tulang tak pernah berkira kerja serta sentiasa menunaikan solat bila sampai waktu.

“Semalam kami bersembang dan sebelum balik kerja jam 2 pagi tadi dia sempat bertanya saya akan masuk kerja pukul berapa hari ini, tak sangka itu perbualan terakhir kami,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Jenazah Mohamad Riezal Izani akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kalai Batu Melintang, Jeli, Kelantan, namun waktu pengebumian belum diketahui.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt Mohamad Nordin Abdullah, berkata, semasa kejadian mangsa sedang tugas dan sedang dalam perjalanan ke balai tempat bertugas.

Katanya, siasatan awal mendapati, semasa kejadian mangsa dari arah Jalan Pegoh Seberang masuk ke Jalan Hala Pegoh 11 sebelum dilanggar sebuah kereta yang belum dikenal pasti nombor pendaftaran.

Katanya, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA