IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau menyerahkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk menentukan tindakan sekiranya wujud dakwaan komplot mahu menjatuhkan beliau sebagai Menteri Besar Perak.
Namun beliau menganggap gerakan itu hanya sekadar berupa khabar angin kerana masih percaya kepada jalinan kerjasama mantap dalam kalangan semua Adun termasuk exco Pakatan Harapan.
“Bersandarkan jalinan kerjasama baik ini saya tidak nampak wujud gerakan mahu menjatuhkan saya malah saya juga tidak percaya ada anggota parti tergamak berbuat demikian dan mahu mengulangi peristiwa kejatuhan kerajaan pakatan rakyat tahun 2009,” katanya kepada pemberita semasa membuat lawatan ke bilik media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.
Ditanya pemberita masih wujud tindakan kononnya daripada seorang exco Pakatan Harapan yang mahu menjatuhkannya, katanya, adalah tidak bijak jika seorang wakil rakyat parti pemerintah mahu melompat ke parti pembangkang.
Menurut Ahmad Faizal lagi, adalah satu tindakan yang tidak bijak juga jika mahu menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan dimana mereka sendiri sedar dan telah melalui pengalaman perit kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat tahun 2009 dahulu sudah tentu tidak mahu berulang kembali.