Mengarut Ganti Menteri Besar Perak – Zainol Fadzi

Reading Time: 2 minutes

ULASAN: Kelmarin Perak dikejutkan dengan khabar angin kononnya bakal berlaku peralihan kuasa pentadbiran kerajaan negeri Perak apabila wujudnya perbincangan pemimpin Barisan Nasional (BN) untuk menjadikan ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin sebagai  Menteri Besar Perak yang baharu.

Namun hari ini khabar angin itu ternyata ‘auta’ belaka apabila Datuk Zainol yang juga Penasihat Khas YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu tampil menafikan perkara sekeras-kerasnya.

Justeru itu, beliau meminta semua pihak menghentikan segera agenda politik sedemikian rupa bagi mengelak keresahan di kalangan rakyat negeri ini.

Mengulas lebih lanjut, Datuk Zainol berkata, dakwaan yang dikongsi pelbagai pihak sejak beberapa hari lalu itu sebagai mengarut, tidak berasas sama sekali kerana beliau sudahpun merupakan sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH) selepas menyertai Bersatu tahun lalu.

“Apabila digambarkan akan dilantik sebagai Menteri Besar, saya kira itu sudah jadi perkara mengarut dan cerita rekaan.

“Terbaharu timbul pula dakwaan kononnya saya sudah mengadap Tuanku, semua ini tidak benar seperti ditularkan.

“Pertamanya kerana tiada pemimpin BN yang berjumpa saya untuk memujuk apatah lagi mengajak … langsung tiada,’’ katanya kepada pemberita di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Khamis.

Menurut Zainol lagi, pemimpin pelbagai peringkat termasuk UMNO dan PAS berjumpa dengannya untuk membincangkan mengenai isu rakyat di kawasan.

“Saya boleh namakan YB-YB yang datang … semuanya berhubung masalah rakyat, ada yang meminta bantuan untuk isu tanah, infra dan berkaitan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita pula mengamalkan dasar terbuka, jadi tiada masalah dan tiada sekatan untuk bertemu,’’ kata Zainol.

Mei tahun lalu PH beroleh mandat membentuk kerajaan negeri dengan majoriti 31 kerusi setelah mendapat sokongan dua wakil rakyat BN iaitu Zainol Fadzi dan ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi.

Datuk Zainol seterusnya menjelaskan bahawa beliau tidak menolak kemungkinan khabar angin ini timbul susulan kesan perubahan suasana politik yang memperlihatkan kemenangan BN pada dua PRK baru-baru ini hasil kerjasama PAS dan UMNO.

 Katanya, beliau bersama Nolee mempunyai pendirian sendiri tanpa perlu dipengaruhi pihak lain.

“Tidak timbul isu saya akan berpindah semula dan sebagainya … sayapun berada dalam pentadbiran ini sejak Jun dan lihat pimpinan Menteri Besar serta barisan Exconya sangat positif walau macam-macam isu dimainkan.

“Kemenangan BN di Parlimen Cameron Highlands dan DUN Semenyih perlu dilihat secara positif dan dijadikan iktibar dalam menambah baik pentadbiran kerajaan,’’ katanya.