UMNO Jangan Terlalu Yakin Dengan Gabungan Baru

Reading Time: 2 minutes

ULASAN | UMNO sepatutnya tidak meninggalkan rakan lamanya MCA dan MIC di belakang dalam usaha mereka yang begitu ghairah hendak bergabung dengan PAS.

Mahu atau tidak, realiti politik dalam negara ini masih bergantung kepada demografi perkauman. SPR juga mengambil kira statistik kaum dalam sesebuah pusat daerah mengundi untuk memberi bayangan calon dari kaum manakah yang mempunyai potensi memenangi sesuatu pilihanraya. Negara kita masih belum bersedia untuk mengabaikan komposisi kaum dalam sesebuah pilihanraya. Jika tidak, sudah tentu tidak ada pecahan peratusan pengundi mengikut kaum dalam sesuatu kawasan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya berkata bukan semua orang Melayu menyokong UMNO dan PAS, hakikatnya begitu juga bukan semua kaum Cina dan India yang menyokong Pakatan Harapan. Golongan ‘atas pagar’ tidak mengira etnik, sedikit undi mereka boleh mengubah keputusan siapa yang menang dalam sesuatu pilihanraya. Boleh dikatakan seseorang calon itu menang bukan kerana undi yang diperolehi dari penyokong atau ahli partinya tetapi dari orang yang tidak berparti kerana mereka yang tidak menyertai mana-mana parti lebih ramai di luar sana. Merekalah yang sebenarnya mempunyai kuasa untuk menentukan kemenangkan seseorang calon.

Dengan meninggalkan MCA dan MIC dalam keghairahan UMNO untuk ‘berkahwin’ dengan PAS adalah satu kesilapan besar yang tidak sepatutnya mereka lakukan. Gabungan dengan kedua-dua parti berasaskan kaum itu sedikit sebanyak dapat mencuri undi dari kaum yang diwakili, apabila mereka tidak lagi berada dalam gabungan, maka sudah tentu UMNO dan PAS akan kehilangan undi dari kedua-dua kaum itu.

Momentum kemenangan dua kali berturut-turut dari Cameron Highland ke Semenyih sedikit sebanyak akan tergugat ekoran tindakan terbaru UMNO berbaik semula dengan PAS ini. Yang pasti, mereka bakal kehilangan hampir 100% undi dari kaum Cina dan India. Apa yang mereka boleh harapkan ialah undi dari orang Melayu semata-mata. Walhal, bukan semua orang Melayu menyokong UMNO dan PAS, seperti kata Anwar. Mereka yang sudah tidak percaya kepada parti itu mempunyai pilihan untuk memilih Bersatu yang masih merupakan parti berasaskan kaum mewakili orang Melayu.

Jika UMNO memikirkan mereka boleh menang tanpa sokongan Cina dan India, mereka silap. Dalam kebanyakan kawasan parlimen, komposisi kaum tidak memihak kepada Melayu sahaja. Di bandar-bandar besar, pengundi Cina adalah hampir sama banyak dengan Melayu malah di kawasan-kawasan tertentu jumlah mereka mengatasi Melayu.

Jika perkara ini berterusan sehingga ke PRU15, gabungan UMNO-PAS tidak akan mampu menggugat kekuatan gabungan Pakatan Harapan yang lebih terbuka dan bertoleransi dalam politik. kita bakal melihat keputusan pilihanraya yang paling janggal dalam sejarah, kawasan luar bandar dimenangi oleh UMNO-PAS, kawasan bandar dikuasai oleh PH.

Jika UMNO-PAS mahu bergantung harap 100 peratus kepada undi Melayu, mereka perlu lakukan beberapa perkara yang boleh membuatkan orang Melayu lebih bersikap lunak terhadap mereka. Perkara-perkara itu ialah seperti membuang pemimpin-pemimpin lama yang mempunyai masalah yang dianggap korup yang masih duduk dalam parti seperti Najib Razak, Zahid Hamidi, Azeez Rahim dan kuncu-kuncu mereka. Mereka ini tidak boleh lagi berada di dalam parti kerana akan memberi imej yang buruk. Kerana adanya orang-orang begini di dalam UMNO, tidak mudah untuk orang Melayu kembali percaya kepada UMNO atau memberi undi.

Kedua, UMNO tidak perlu menonjolkan retorik perkauman kerana ini akan menjadi senjata makan diri. Semua orang tahu kedua-dua parti UMNO dan PAS majoriti adalah orang Melayu. Apa yang orang mahu lihat ialah apa yang mampu diberi oleh gabungan ini, bagaimana untuk menjadi satu pakatan yang adil untuk kembali menerajui negara yang mempunyai masyarakat majmuk berbilang kaum.

Amatlah mustahil untuk memujuk orang Cina dan India mengundi UMNO-PAS kecuali mereka melihat ia boleh memberi faedah dan kebaikan untuk kedua-dua kaum itu. UMNO-PAS perlu mengkaji kehendak rakyat termasuk dari kaum Cina dan India. Setakat menabur janji di bibir bukan lagi dapat mempengaruhi rakyat semudah dahulu.

~ Kulup Lembang