Ahli PPBM Batu Gajah Tuntut Jaafar Mohon Maaf Secara Terbuka Kepada `Peja’

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Seorang Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Batu Gajah tampil mendesak Jaafar Uthman memohon maaf secara terbuka kepada Dato Seri Ahmad Faizal Azumu kerana mencarut dan memaki hamun Menteri Besar Perak itu melalui rakaman video semalam.

Shahrul Ridzuan membuat desakan itu selepas membuat satu laporan polis terhadap Jaafar yang juga Timbalan PPBM Bahagian Tambun di Balai Polis Pekan Baru malam tadi.

Shahrul berkata, tindakan biadap Jaafar kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan memaki hamun Dato Seri Ahmad Faizal termasuk pegawai-pegawai Menteri Besar melalui aplikasi Facebook dan Whatapp dibimbangi boleh mencetuskan suasana tidak aman.

Katanya, beliau membuat laporan polis itu demi untuk menjaga kehormatan YAB Menteri Besar Perak, Dato Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menurut Shahrul, sebagai umat Islam, Jaafar seharusnya menjaga adab dan budi pekerti yang baik dan tidak bertindak melampaui batas.

Namun sebaliknya, kata beliau apa yang amat dikesali Jaafar telah bertindak mengeluarkan kata-kata kesat dan mencarut terhadap Dato Seri Ahmad Faizal melalui aplikasi Facebook dan Whatapps.

Sehubungan itu beliau menggesa pihak PDRM  menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap Jaafar.

Jaafar semasa bercakap kepada pemberita di Padang Polo, Ipoh berkata, beliau merasa amat terkesan dengan permasalahan besar yang dihadapi 200 ejen jualan tiket bas ekspres di Terminal Amanjaya apabila tidak dapat bertemu dengan ketuanya Dato Seri Ahmad Faizal untuk membincangkan secara serius berhubung perkara itu.

“Saya hingga kini tidak dapat bertemu dengan Ahmad Faizal untuk mencari penyelesaian berhubung isu ini apabila 200 ejen akan kehilangan punca pendapatan.

 “Ini menyebabkan saya mengambil langkah drastik menularkan rakaman video perbualan telefon saya dengan pegawai Menteri Besar apabila saya meminta sampaikan ‘salam’ kepada ketua saya itu,” katanya.

Beliau mengakui penularan video memaki hamun Menteri Besar dibuatnya adalah bagi menyuarakan ketidakpuasan hati berhubung isu berkenaan.

Sejak semalam, tular video berdurasi 2 minit 56 saat perbualan telefon antara Jaafar dengan seseorang apabila Timbalan Ketua Bahagian Tambun itu mendakwa tidak dapat bertemu Ahmad Faizal dari September hingga kini.