BERNAMA – Kawasan hutan bukit seluas 8.1 hektar di perkampungan Orang Asli Pos Legap, Sungai Siput terbakar pagi ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu kira-kira 8.24 pagi sebelum jentera dari balai Sungai Siput dengan kekuatan 12 anggota digerakkan ke lokasi.
“Tiada rumah penduduk terlibat kerana jarak lokasi kebakaran dengan penempatan adalah jauh, pihak bomba perlu merentas hutan dalam empat jam untuk ke tempat kebakaran.
“Anggaran ketinggian kawasan kebakaran adalah 1,500 kaki dari aras laut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata pasukan elit Jabatan Bomba dan Penyelamat atau Multi Skill Team (MUST) serta Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) juga digerakkan ke lokasi bagi perancangan dan kerja-kerja pemadaman api.
“Permohonan pesawat dari unit udara juga sedang diusahakan bagi memantau jumlah keseluruhan kawasan terlibat dalam kebakaran,” katanya.
Beliau turut menambah operasi pemadaman turut dibantu pihak polis, Jabatan Perhutanan dan Pejabat Tanah.