Dipaksa Pindah Dari Medan Gopeng Ke Amanjaya Kemudian Dihalau Pula

Reading Time: 3 minutes

Perlaksanaan CTS Akibatkan Dua Ratus Ejen Jualan Tiket Hilang Punca Pendapatan

IPOH: Seramai 200 ejen jualan tiket bas ekspres di Terminal Amanjaya, Ipoh terpaksa berdepan masa depan yang `gelap’ setelah hilang punca pendapatan apabila mereka diarah menamatkan operasi di terminal terbabit bermula 7 Mac ini.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ejen Jualan Tiket Bas Ekspres Silveritage Medan Gopeng, Mohd Tarmizi Mohd Yusuff, ini susulan pelaksanaan sistem penjualan tiket berpusat (CTS). Katanya, perlaksanaan sistem ini akan mengakibatkan ia dimonopoli oleh hanya seorang individu dan ia adalah perniagaan yang tidak sihat. 

Mengambil contoh seperti yang berlaku di terminal bas Larkin, Melaka Sentral, Butterworth dan Sungai Petani dimana ribuan ejen telah kehilangan pekerjaan dan ejen jualan tiket bas telah dihapuskan. 

Lebih malang lagi, katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Menteri Besar Perak, Dato Seri Ahmad Faizal Azumu masih bersikap `membisu’ tidak memberi maklum balas sehingga ke hari ini meskipun isu yang dihadapi 200 ejen jualan tiket terbabit telah dibawa ke pengetahuan Menteri Besar sejak September tahun lalu.

Beliau berkata, kesemua ejen terbabit perlu pembelaan dari kerajaan negeri kerana mereka sudah beroperasi selama kira-kira enam tahun di terminal berkenaan apatah lagi mereka sudah berkeluarga.

“Penamatan operasi ini bermakna mereka kehilangan punca pendapatan untuk menyara keluarga … mereka mempunyai tanggungan, membayar rumah, kereta dan segala keperluan hidup.’’ Katanya dalam satu sidang media di Padang Polo pada Isnin. Hadir sama Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tambun, Jaafar Uthman serta beberapa wakil ejen jualan tiket bas ekspres.

Menurut Tarmizi, beliau menzahirkan kekecewaannya bagi pihak kesemuia agensi terbabit kerana Menteri Besar masih bersikap membisu dalam hal ini sedangkan Terminal Amanjaya terletak dalam kawasan Parlimen Tambun dimana Ahmad Faizal adalah Ahli Parlimen kawasan itu.      

Katanya, beliau menerima khabar berita penamatan operasi kaunter ejen jualan tiket berkenaan pada tahun lalu namun arahan hanya dikeluarkan 7 Februari lalu.

“Susulan itu, pada September tahun lalu kami cuba mencari jalan bagi membela nasib semua ejen ini dengan mengatur pertemuan bersama Menteri Besar (MB), Dato Seri Ahmad Faizal Azumu untuk cari penyelesaian menang-menang bagi semua pihak.

“Malangnya hingga kini, kami gagal bertemunya, malah surat dan memorandum mengenai perkara itu yang kami serahkan kepada wakilnya tidak dijawab atau mendapat sebarang maklum balas,’’  katanya.

Beliau menjelaskan apa yang dipinta kesemua ejen ini adalah memohon kebenaran kembali beroperasi di terminal bas Medan Gopeng yang dikenali Silvertage dan pada dasarnya pemilik bangunan berkenaan sudahpun bersetuju. Beliau dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Majuperak Holdings kerana memberi kebenaran untuk membuka semula terminal bas ekspres di bahagian selatan iaitu di Silveritage Medan Gopeng. 

“Pihak pertubuhan akan menggunakan dana sendiri untuk membuka terminal yang berkonsep moden dan sistematik di Silveritage Medan Gopeng.

“Kami tak minta dari kerajaan negeri walau satu sen pun, kami cuma mahu kelulusan sahaja.  

“Kami sangat berharap campur tangan Menteri Besar dalam mewartakan Silvertage sebagai terminal bas ekspres dengan kelulusan mengambil dan menurunkan penumpang,” katanya.

Sementara itu Jaafar memberitahu pemberita, beliau merasa amat terkesan dengan permasalahan besar yang dihadapi agensi tiket terbabit apabila tidak dapat bertemu dengan ketuanya untuk membincangkan secara serius berhubung itu ini.

“Saya hingga kini tidak dapat bertemu dengan Ahmad Faizal untuk mencari penyelesaian berhubung isu ini apabila 200 ejen akan kehilangan punca pendapatan.

“Ini menyebabkan saya mengambil langkah drastik menularkan rakaman video perbualan telefon saya dengan pegawai Menteri Besar apabila saya meminta sampaikan ‘salam’ kepada ketua saya itu,” katanya.

Beliau mengakui penularan video memaki hamun Menteri Besar dibuatnya adalah bagi menyuarakan ketidakpuasan hati berhubung isu berkenaan.

Sejak semalam, tular video berdurasi 2 minit 56 saat perbualan telefon antara Jaafar dengan seseorang apabila Timbalan Ketua Bahagian Tambun itu mendakwa tidak dapat bertemu Ahmad Faizal dari September hingga kini.