Mujahid Yusof: Bukan Kerja PH Korek Niat Ahli Lompat Parti

Reading Time: < 1 minute

Berbeza dengan pandangan Pemuda Amanah Perak yang meragui niat dan tindakan Ahli parlimen Bagan Serai Dr. Noor Azmi Ghazali yang mengumumkan keluar dari UMNO dan Barisan Nasional, ahli parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusof Rawa berpendapat bahawa bukan tugas Pakatan Harapan untuk menyelidiki niat setiap ahli parti yang mahu meninggalkan parti mereka dan menyatakan sokongan mereka terhadap kerajaan PH dan Tun Mahathir.

Beliau dalam ciapan Twitter turut mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mahu tinggalkan parti UMNO dan Barisan Nasional. Bagaimanapun, menurutnya, mereka yang keluar dari UMNO/BN dan menyatakan sokongan terhadap kerajaan Pakatan Harapan mestilah berpegang kepada prinsip Pakatan Harapan.

Terdahulu, ahli parlimen Bagan Serai, Dr. Noor Azmi mengadakan sidang media mengisytiharkan dirnya keluar UMNO dan menjadi wakil rakyat Bebas. Bagaimanapun, beliau disebut oleh media tempatan akan memohon untuk menyertai parti PPBM.

Ekoran dari itu, Pemuda Amanah Perak telah mengeluarkan kenyataan media menyatakan pendirian keras mereka berhubung hal itu.