Lelong Kenderaan Tidak Perlu: Van Amanjaya Patut Dalam Senarai Lelongan

Reading Time: < 1 minute

Susulan kenyataan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu kepada pemberita di majlis Tambun Berhari Raya bersama Harapan di Tanjung Rambutan semalam berkenaan kenderaan rasmi Exco dari kerajaan terdahulu akan terus digunakan, saya tertarik untuk mengajukan satu soalan tentang kenderaan rasmi yang lain yang masih tersadai di kawasan letak kereta pejabat kerajaan negeri Perak.

Dalam kenyataan beliau, kerajaan negeri Perak tidak akan membeli kereta baru untuk kegunaan rasmi ahli EXCO kerajaan, sebaliknya akan menggunakan kenderaan yang sama dipakai oleh kerajaan terdahulu. Beliau juga membayangkan kemungkinan akan ada lelongan awam untuk kenderaan yang tidak diperlukan.

Bagaimana dengan kenderaan seperti dalam gambar di atas? Adakah ia akan termasuk dalam lelongan awam? Lebih menarik, kenderaan ini mempunyai stiker gambar bekas Menteri Besar, Dr. Zambry Abdul Kadir. Malah terdapat stiker tertulis ‘Janji Ditepati’ dengan logo 1Malaysia dan ‘Tiada Tertinggal Tiada Terpinggir’ – motto kebanggaan kerajaan Barisan Nasional yang diperkenal semasa zaman Dr. Zambry.

Di hadapan kenderaan pula terdapat jata kerajaan negeri Perak dan tertera perkataan ‘Amanjaya’, suatu nama yang lebih sinonim dengan negeri Kedah iaitu Kedah Darul Aman.

Untuk pengetahuan, perkataan Amanjaya tiada kaitan dan langsung tidak menggambarkan ciri-ciri negeri Perak.