Mukhriz, Syed Saddiq Sedia Berdepan Tindakan Disiplin Parti

Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA | Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Mukhriz Mahathir dan Ketua Armada Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah bersedia menghadapi tindakan disiplin oleh parti itu kerana tidak menyokong Muhyiddin Yassin untuk jawatan perdana menteri.

“Itu adalah risiko yang kami perlu tanggung. Kami masih memegang jawatan dalam parti, termasuk Dr. Mahathir sebagai pengerusi, dan kami akan memberi penjelasan kepada anggota parti sampai ke akar umbi untuk merungkai apa yang berlaku.

“Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu tidak pernah memilih Muhyiddin (sebagai calon PM),” kata Mukhriz kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat ketua bahagian dan cawangan di sini pada Ahad (1 Mac).

Beliau berkata pimpinan tertinggi parti telah memutuskan hanya memilih Dr. Mahathir untuk jawatan perdana menteri.

“Pimpinan parti juga sebulat suara meminta Dr. Mahathir menarik balik perletakan jawatan sebagai pengerusi parti.

“Sebarang kenyataan yang mengatakan Dt Mahathir tidak lagi menjadi pengerusi Bersatu adalah tidak benar,” katanya.