Jangan Campuri Urusan Perundangan Dalam Kes Berprofail Tinggi- Annuar Musa

Reading Time: < 1 minute

Foto Bernama

Kerajaan yang baru dibentuk tidak seharusnya mencampuri urusan mahkamah seperti cuba menggugurkan kes-kes berprofail tinggi melibatkan anggota parti mereka, menurut Setiausaha Agung UMNO Annuar Musa.

“Jika kita campuri urusan dengan menggugurkan kes-kes mereka yang dituduh, rakyat akan berkata kerajaan tidak hormati undang-undang dan badan perundangan tidak bebas; jadi jangan langgar konsep itu,” katanya kepada Bernama.

Beliau tidak menyebut kes yang mana. Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri Najib Razak sedang dibicarakan atas tuduhan salah guna kuasa dan rasuah.

Isteri Najib, Rosmah Mansor dan Presiden Umno Zahid Hamidi juga sedang dibicarakan atas beberapa pertuduhan dan beberapa pemimpin Umno lain dituduh di atas kesalahan pengubahan wang haram.

Annuar menggesa semua pihak menghormati konsep pemisahan kuasa di antara badan eksekutif, perundangan dan kehakiman. Tiada sesiapapun harus mencampuri sistem perundangan dengan kepentingan politik.

Beliau turut mengemukakan teori menarik bahawa sesiapa yang bergabung dengan parti DAP, akhirnya parti itu akan berpecah dua. Contoh yang beliau sebut, parti PAS yang pernah bersama DAP akhirnya terpecah dua kepada parti Amanah dan PAS. PKR juga terpecah dua kepada blok Anwar dan blok Azmin. Terkini, PPBM terpisah kepada blok Mahathir dan blok Muhyiddin.

Beliau bercakap sebagai tetamu bersama pengerusi biro dasar dan strategi PPBM Rais Hussin dalam program Bernama TV malam tadi.