Bandaraya Ipoh yang mendapat jolokan sebagai bandaraya terbersih dan lokasi yang amat cocok untuk golongan pesara kini sedang bersedia menyambut kedatangan jutaan pelancung dari luar susulan dasar kerajaan negeri yang meletakkan industri pelancungan sebagai salah satu sektor utama yang mahu dimajukan.
Malangnya ia dicemari oleh tindakan individu atau kumpulan yang tidak dikenali mengotorkan lokasi-lokasi tertentu malah mereka menjadikan jejantas sebagai tempat mereka tidur dan membuang najis.
Pengguna jalanraya yang melalui bawah jejantas di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab setiap hari mungkin tidak sedar apa yang ada di atasnya.
Tinjauan wartawan Independent semalam mendapati jejantas di hadapan Bangunan Pusat Islam itu tidak digunakan oleh pejalan kaki, sebaliknya mereka memilih untuk melintasi jalanraya yang sibuk dengan sanggup mengambil risiko kemalangan jalanraya.
Siasatan lanjut oleh wartawan kami mendapati jejantas itu dicemari oleh najis manusia dan berbau hancing mungkin ditinggalkan oleh golongan gelandangan yang tidak berumah dan menjadikan jejantas sebagai ‘hotel’ tempat mereka menginap setiap malam.
Selain najis, terdapat pakaian lusuh yang diletak di laluan jejantas menunjukkan kawasan ini mungkin dihuni oleh golongan yang tidak dikenali di percayai orang gelandangan.
Pihak berkuasa perlulah melakukan sesuatu untuk menangani masalah ini yang memberikan imej yang buruk kepada bandaraya Ipoh. Lebih-lebih lagi jejantas ini bersebelahan dengan pusat penjaja makanan atau medan selera yang sentiasa dikunjungi oleh warga kerja berdekatan seperti kakitangan dari Baitulmal, Lembaga Air Perak dan Bank Simpanan Nasional menjamu selera untuk makan tengahari.