Akta Dana Politik Martabat Sistem Demokrasi Matang

Reading Time: 2 minutes

Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 memberi enam bidang utama iaitu perolehan awam; penguatkuasaan undang-undang; tadbir urus politik; tadbir urus korporat; pentadbiran sektor awam; dan, perundangan dan kehakiman.

Antara skop NACP termasuklah  mewujudkan Akta Dana Politik yang melibatkan pembiayaan politik, Secara umum, ia menggambarkan sebahagian daraipada inisiatif kerajaan untuk memastikan ketelusan dan akauntibiliti dalam pentadbiran kerajaan sekaligus memartabatkan sistem demokrasi negara.

Selain itu, NACP juga membuktikan kesungguhan kerajaan untuk membanteras gejala negatif ini hingga ke peringkat umbi. Ternyata hasrat ini mendapat pujian dan sokongan bukan sahaja rakyat biasa malah kepimpinan politik sama ada pihak kerajaan mahu pun pembangkang.

Mengikut Tun Dr Mahathir, tanpa dana, parti politik tidak boleh berfungsi kerana kos mengendalikan parti politik pada masa kini sangat tinggi serta  meningkat setiap masa. Namun, dana tersebut mestilah sah dan diperakui kerajaan. Inilah persoalan yang bermain di benak pemikiran pemain politik. Akibat ketiadaan sebarang akta berkaitan sumbangan politik, maka pelbagai tafsiran dibuat hingga melibatkan tangkapan dan tindakan undang-undang. Nilai ‘sumbangan’ juga bukan sedikit hingga mencecah jutaan ringgit.

Bagi mengelak kekeliruan, elemen penting yang perlu diambilkira ialah menetapkan takrif yang tepat berkaitan sumbangan politik agar tidak wujud kekeliruan dalam kalangan pemain politik dan penyumbang serta rakyat amnya. Jika wujud pertikaian, pihak mahkamah pula mempunyai panduan yang jelas sebelum menjatuhkan hukuman sekaligus mengelak tohmahan tidak adil kepada institusi mahkamah.

Yang penting ‘layanan’ melaksanakan akta ini tidak berpihak kepada parti pemerintah sahaja. Dengan kata lain, agensi yang bertanggungjawab mengurus dan memantau setiap sumbangan mesti telus dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik. Jika ada keperluan, satu jabatan khas boleh diwujudkan dan dianggotai oleh mereka yang tidak mempunyai kepentingan atau kecenderungan mana-mana parti politik.

Demi memastikan ia telus, sama ada parti pemerintah atau pembangkang perlu mengemukakan penyata tahunan penerimaan sumbangan kepada pihak SPRM atau Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah (GACC) Jabatan Perdana Menteri. Semua sumbangan perlu direkod butiran penerimaan dan tujuan perbelanjaan sebelum diisytihar sebagai mana para Yang Berhormat dan pegawai kerajaan mengisytiharkan harta melalui sistem yang disediakan.

Bagi parti-parti politik, sebagai menyahut saranan ini elok juga mewujudkan Biro Hal Ehwal Pembiayaan yang bertanggungjawab menyelenggara segala sumbangan kepada partinya. Setiap jawatankuasa biro yang dipilih perlulah mendapat tapisan daripada pihak polis dan SPRM agar tidak menimbulkan kepincangan mengurus dan mengelak daripada nama parti menjadi buruk. Malahan, pihak parti juga boleh meminda perlembagaan parti dengan memasukkan juruaudit bertauliah bagi tujuan tersebut.

Apa pun, rakyat wajar menyokong usaha kerajaan di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir yang bersungguh-sungguh ingin mengembalikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersih daripada gejala rasuah. Tambahan pula, kedudukan Malaysia di tangga 61 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2018 benar-benar mencabar keupayaan kerajaan untuk membanteras amalan tidak bermoral ini. Di samping itu, demi memastikan negara benar-benar bersih daripada gejala negatif ini sudah tentu satu pelan jangka panjang perlu dirangka melalui akta ini.

Sama ada lambat atau cepat, akta ini bakal memberi implikasi baik kepada politik negara. Paling tidak pun, akta ini menjadi ciri kematangan politik di Malaysia lantaran mempunyai satu garis panduan yang jelas berkaitan pengurusan politik negara. Jika hal ini berjaya dikuatkuasa, saya yakin demokrasi politik Malaysia bukan sahaja berkembang subur dan matang, malah memperlihatkan kepada dunia bahawa moral dan nilai masyarakat timur sentiasa dipelihara oleh masyarakat majmuk di negara kita.


Ibrahim Ahmad adalah seorang Pensyarah Jabatan Pengajian Umum UniKL RCMP, Ipoh, Perak merangkap Timbalan Presiden Pertubuhan Masyarakat Harmoni Perak. Tulisan ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Independent.