Nga Kor Meng Gesa SPRM Siasat Perak Corp.

Reading Time: < 1 minute

“Letak jawatan segera atau berdepan tindakan dipecat’’ begitulah kata-kata yang ditujukan oleh Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming kepada semua Ahli Lembaga Pengarah Perak Corporation Berhad (PCB).

Beliau menggesa kesemua mereka meletakkan jawatan berikutan kerugian yang dialami syarikat itu bagi tahun kewangan berakhir 2017 mencecah RM340.6 juta seperti dilaporkan oleh sebuah portal berita berbahasaInggeris, Rabu lalu.

Kor Ming mendakwa, liabiliti semasa anak syarikat milik kerajaan negeri tersebut yang melebihi aset semasanya sebanyak RM158.5 juta pada penghujung tahun 2017, seperti dinyatakan oleh firma audit luar Ernst & Young, merupakan suatu yang membimbangkan sekali gus boleh membawa kepada kebankrapan.

Beliau mendakwa, antara punca kegagalan berkenaan adalah disebabkan oleh kelemahan pengurusannya yang tidak berwibawa selain kerugian akibat peningkatan hutang daripada taman tema animasi, Movie Animation Park Studios (MAPS).

“Sebagai kerajaan yang penuh bertanggungjawab, saya dengan ini meminta seluruh lembaga pengarah PCB meletak jawatan dengan segera (kerana terdapat lantikan politik). Pengerusi Bukan Eksekutifnya ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota yang juga bekas Timbalan Speaker, Datuk Nasaruddin Hashim dan juga Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (ADUN Kampung Gajah).

“Sudah terbukti mereka tidak berupaya untuk menguruskan syarikat awam ini dan cara paling bermaruah untuk mereka lakukan sekarang ialah meletakkan jawatan sebelum kerajaan negeri mengambil tindakan dan mereka dipecat,” katanya kepada pemberita di Wisma DAP Perak, Ipoh pada Sabtu.

Sehubungan itu Kor Ming meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat PCB bagi mengheret mana-mana individu yang terlibat dalam penyelewengan ke muka pengadilan.