Pakej Bumi Hijau Galak Rakyat Perak Bercucuk Tanam

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Program Pakej Bumi Hijau yang dilancarkan kerajaan hari ini memberi peluang kepada rakyat Perak untuk bercucuk tanam di halaman rumah masing-masing sekaligus akan menjana ekonomi.

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, untuk merealisasikan matlamat itu kerajaan memperuntukkan RM790,000 dengan menyediakan kit Pakej Bumi Hijau bagi menggalakkan rakyat menanam sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Kempen kita adalah untuk tanam dan makan sendiri kemudian ada lebihan, kita sedekah, tetapi kalau terlalu banyak dan boleh menjana ekonomi, apa salahnya namun sebaik-baiknya dicadang tanam untuk makan sendiri dan kalau lebih diberikan kepada jiran-jiran.

“Kita berharap usaha ini dapat menyemai kecintaan masyarakat terhadap bidang pertanian bermula dengan mengusahakan `kitchen garden’ atau taman sayur di halaman rumah masing-masing,’’katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian  kepada pemberita semasa melancarkan Program Tanaman Bumi Hijau 2020 di Pejabat Menteri Besar Perak, Ipoh pada Khamis.

Menurut beliau, permohonan kit berkenaan boleh dibuat melalui laman web Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) dan penerimaan akan disalurkan melalui pejabat Adun masing-masing.

Pada sidang media yang sama Menteri Besar menyelar Pakatan Harapan (PH) kerana mempertikai isu penswastaan pengurusan sisa pepejal.

Katanya, ini kerana isu berkenaan merupakan kesinambungan yang diputuskan oleh Pakatan Harapan sebelum peralihan kerajaan.

“Keputusan menswastakan pengurusan sisa pepejal dibuat tahun lepas. Rakan-rakan yang sama membuat keputusan harap meneliti perkara yang sama-sama kita lakukan dahulu.

“Hari ini, Perikatan Nasional (PN) meneruskan keputusan yang dibuat oleh PH sendiri,’’ jelasnya.

Mengenai pemilihan syarikat dari Selangor, beliau menjelaskan syarikat terbabit berpengalaman luas dalam pengurusan dan operasi kutipan sisa pepejal serta pembersihan awam.