Pantau dan Martabat Bahasa Kebangsaan

Reading Time: 3 minutes

Oleh Ibrahim Ahmad

Tiba-tiba singkatan ejaan pada kain rentang dan gegantung sempena Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Perak 2019 mencuri tumpuan banyak pihak. Hal ini bukan sahaja melantun kritikan netizen dan pejuang bahasa Melayu, malah menarik perhatian Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran.

Telahan awal saya, ‘PGUNA BIJAK SNTIASA BRJIMAT’ (Pengguna Bijak sentiasa Berjimat) adalah kecacatan ejaan dan memberi impak kesedaran kepada pihak berkuasa serta masyarakat betapa bahasa itu mempunyai nilainya tersendiri. Sekalipun Datuk Mohd. Yusof Mohd Isa, Pengurus Besar Lembaga Air Perak (LAP) menjelaskan hanya sekadar gimik dan ingin menarik perhatian generasi muda, ia bukanlah alasan yang kukuh.

Bagi pencinta dan pejuang bahasa Melayu, alasan itu tidak mungkin boleh diterima begitu sahaja, apatah lagi dibuat oleh agensi kerajaan dan ‘bertaraf rasmi’. Secara tidak langsung ‘kecacatan’ ini menggambarkan ketidakpekaan agensi negeri memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan sebagai mana termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pakar-pakar bahasa seperti Sapir, Bloch dan Hall umumnya bersetuju bahasa adalah alat untuk manusia berinteraksi dan berkomunikasi. Dari perspektif sejarah, bahasa adalah sebahagian daripada ciri tamadun sesuatu bangsa. Bahkan terdapat pelbagai madah berkaitan bahasa, misalnya ‘bahasa jiwa bangsa’, ‘bahasa menunjukkan bangsa’, tiada kata secantik bahasa’, ‘orang berbudi kita berbahasa’, dan ‘ apa diharap kepada saya, rupa buruk bahasa pun kurang’.

Mahu tida mahu, setiap bangsa perlu mengakui keunggulan dan berusaha sedaya upaya mempertahankan bahasanya daripada pupus yang akhirnya menenggelamkan keagungan bangsanya. Andai ada dalam kalangan bangsanya yang cuba menafikan kepentingan bahasa bangsanya pasti akan dianggap sebagai pengkhianat dan petualang yang sukar dimaafkan!

Tepati hukum dan laras bahasa Melayu

Sekalipun sekadar gimik dan promosi sewajarnya ia dilakukan mengikut ‘hukum bahasa’ yang betul. Sepatutnya pengunaan yang betul dipraktikkan dalam semua urusan kerajaan sebagai usaha memartabatkan bahasa kebangsaan. Penggunaan struktur dan laras bahasa yang betul di kain rentang yang diikat di tepi jalan dan simpang lampu trafik seharusnya menjadi ilmu kepada masyarakat. Begitulah juga dalam urusan pengumuman di beberapa tempat umum atau edaran risalah perlu menepati laras bahasa Melayu yang betul walaupun ‘dikepilkan’ bersama bahasa-bahasa lain.

Mereka yang terlibat dalam urusan pemasaran dan mempromosi sesuatu produk seharusnya mempunyai kemahiran bahasa Melayu yang betul. Jika kurang faham tidak perlu ego dan malu untuk bertanya atau merujuk kepada mereka yang lebih mahir. Paling tidak, rujuklah guru-guru bahasa Melayu yang mengajar di sekolah berhampiran tempat bertugas. Jangan biarkan bahasa Melayu ‘promosi’ itu ‘menyesatkan’ mereka yang kurang faham penggunaan bahasa Melayu yang betul. Lebih malang lagi jika ia mempengaruhi pelajar sekolah dan menjadi ikutan atas alasan gaya baharu semasa.

Bukan beban kerajaan negeri

Dari aspek politik, sedikit sebanyak kecacatan ini akan memalit ‘maruah’ kerajaan negeri Perak. Hal ini terbukti melalui kenyataan Pejabat Menteri Besar yang mengambil maklum hal ini, walaupun menganggapnya sebagai gimik dan ingin menimbulkan kesedaran menjimatkan air. Jika terus dihujah, apakah kecacatan ini memberi kesan baik kepada kampen? Jika ya, satu kajian perlu dilakukan oleh pakar-pakar bahasa untuk mengesahkannya.

Justeru, pada masa akan datang hal seperti ini perlu dielak agar tidak menjadi beban yang perlu dijawab oleh pihak kerajaan negeri. Tambahan pula, jika diteliti beberapa titah Paduka Seri Sultan Perak sebelum ini begitu jelas baginda mengingatkan peri pentingnya ‘mendaulatkan’ bahasa Kebangsaan.

Adalah tidak adil untuk meletakkan segala kecuaian seperti ini kepada kerajaan negeri. Namun, bagi memastikan hal ini tidak berulang lagi, pihak kerajaan boleh melantik beberapa orang pakar bahasa sebagai rujukan dan pemantau pengunaan bahasa kebangsaan dalam urusan berkaitan kerajaan negeri. Hal ini bukan sahaja membuktikan kerajaan negeri komited untuk memartabatkan bahasa Melayu berada ‘di atas landasan yang betul’ malah sentiasa peka hal jati diri bangsa sekaligus dilihat lebih baik daripada regim lepas.


Penulis ialah Timbalan Presiden Pertubuhan Masyarakat Harmoni Melayu Perak (HARMONIS), merangkap Pensyarah di UniKL RCMP Perak, Ipoh. Tulisan ini tidak semestinya mewakili pandangan rasmi Independent.