Dr. Zambry Perlu Jelaskan Peningkatan Kos MAPS – Zhemin

Reading Time: < 1 minute

Bekas Menteri Besar Perak, Dato Seri Zambry Abd Kadir perlu menjelaskan dan bertanggungjawab terhadap peningkatan kos pembinaan taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) dari RM390 juta kepada RM607 juta, kata Pengerusi Jawatankuasa Audit Perak Corporation Bhd (PCB), Chong Zhemin.

Menurut Chong lagi, walaupun uadit dalaman khas tidak menemui bukti penyelewengan atau penipuan, terdapat beberapa persoalan mengenai beberapa keputusan dan perjanjian berat sebelah yang boleh dibangkitkan.

Sebagai bekas pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, Dato’ Seri Zambry mempunyai kawalan langsung terhadap PCB, PCB Development Sdn Bhd (PCBD) dan Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP), dan mesti menjelaskan dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kenaikan kos daripada MAPS.

“Paling mengejutkan jumlah RM607 juta itu adalah 57.21 peratus daripada Bajet Perak bagi 2019 yang berjumlah RM1.061 bilion.

“Jika dibuat perbandingan, RM42 bilion daripada skandal 1MDB adalah hanya 13.35 peratus daripada Bajet Negara yang berjumlah RM314.5 bilion.

“Jadi dia kena jawablah perkara ini,” katanya pada sidang media di taman tema berkenaan berkenaan laporan audit forensik MAPS hari ini.

Zhemin juga berkata, banyak lagi perkara akan didedahkan dan beliau akan mengeluarkan kenyataan media setiap hari mulai esok mengenainya.

“Saya akan keluarkan satu soalan setiap hari mulai esok untuk dijawab oleh Zambry,” katanya.