PAS Jangan Sibuk “Perkahwinan” Orang Lain

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu mengingatkan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man supaya lebih baik mencari jalan untuk mengekalkan “perkahwinan” UMNO-PAS daripada sibuk memperkatakan tentang “perkahwinan” orang lain.

Menurut beliau, yang pastinya hubungan UMNO-PAS tidak lama merujuk kepada sejarah mereka sebelum ini.

“Sebab ini fakta, PAS dan UMNO pernah bergabung dan telah pun menjadi sejarah.

“Hari ini mereka telah pun merujuk semula … Saya fikir Tuan Ibrahim perlu mencari jalan untuk kekalkan hubungan itu daripada sibuk berbincang tentang perkahwinan orang lain,” katanya kepada media pada Rabu.

Beliau diminta mengulas laporan media baru-baru ini berhubung kenyataan Timbalan Presiden PAS itu yang beranggapan, pelbagai konflik yang melanda dalam PH ketika ini menjadi petanda bahawa hayat gabungan kerajaan persekutuan itu tidak akan bertahan lama.

“Dengan kemelut dalam PH, pertelagahan yang timbul dalam kalangan mereka, dengan isu rakyat yang masih tidak selesai dan pelbagai kemelut kewangan negara, kita melihat nyawa PH tidak panjang,” kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Kata anggota parlimen Kubang Kerian itu, seluruh jentera PAS perlu bersiap sedia kerana ada kemungkinan pilihan raya umum (PRU) ke-15 diadakan lebih awal.