IPOH | Kerajaan negeri bakal merencanakan pembangunan di sebelah wilayah Selatan Thailand khususnya di Pengkalan Hulu susulan pembinaan Lapangan Terbang Betong.
Menurut Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, kerajaan akan memikirkan kesesuaian jenis industri untuk dibangunkan di kawasan terbabit nanti.
“Sama ada kita nak tengok berita baik ataupun cabaran untuk kita … Selatan Thailand akan membuka satu lapangan terbang di Betong yang mempunyai landasan sepanjang 1.8 kilometer.
“Bermaksud lapangan terbang Ipoh lebih panjang, namun kita fikir ia satu lapangan terbang yang ada potensi untuk diperbesarkan.
“Dan saya telah membawa satu perkara kepada Wisma Putra untuk kita berbincang dengan pihak Thailand berhubung hal kegunaan ruang angkasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini pada Rabu.
Menurut Ahmad Faizal, beliau yakin dan percaya apabila lapangan terbang ini beroperasi nanti sudah tentu banyak pesawat akan menggunakan ruang angkasa di sempadan kedua-dua negara.
Ujarnya, lapangan terbang baharu itu sudah 60 peratus siap dan dijangka siap dalam masa terdekat dan boleh digunakan sepenuhnya pada tahun 2021.
“Kita percaya bila ada lapangan terbang ini kita kena pula merencanakan pembangunan di sebelah wilayah kita supaya dapat manfaatkan apa yang akan berlaku di Selatan Thailand,” katanya.
Beliau mengulas perkembangan terbaru ketika turut serta pada Sidang Kemuncak segitiga pertumbuhan Indonesia – Malaysia – Thailand (IMT-GT).
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menghadiri lawatan kerja dan mewakili negara ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-34, baru-baru ini.
Betong, Thailand terletak hanya kira-kira 15 kilometer dari Pengkalan Hulu. Perjalanan dengan kereta hanya memakan masa tidak sampai 30 minit. Jarak yang begitu dekat sudah pasti memerlukan pesawat melintasi ruang udara negara ini.