Pasukan Khas Dapatkan Semula Aset 1MDB & SRC International Di Luar Negara

Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA | Pasukan petugas khas akan ditubuhkan untuk Malaysia bagi menjejaki dan mendapatkan balik aset-aset di luar negara berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC International) bernilai hampir US$5 bilion, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki.

Beliau berkata pasukan petugas itu akan diketuai oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC) dan juga dianggotai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara dan SPRM.

“Kita perlu menjejaki wang itu, berbincang dengan banyak agensi dan mengkaji isu-isu perundangan,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Azam berkata aset-aset itu berada di banyak negara tetapi beliau tidak memberikan butiran.

“Negara-negara tertentu mempunyai proses undang-undang mereka sendiri yang perlu kita patuhi. Kita perlu berbincang dengan banyak negara. Kita tidak boleh menggunakan undang-undang kita untuk memperoleh atau mendapatkan kembali aset-aset itu, ” katanya.

— BERNAMA