Paul Yong Didapati Bersalah Merogol, Dipenjara 13 Tahun

Reading Time: < 1 minute

IPOH – Wakil rakyat Tronoh, Paul Yong Choo Kiong dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dengan 2 sebatan oleh Mahkamah Tinggi pada Rabu selepas didapati bersalah merogol pembantu rumahnya pada 2019.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman selepas mendapati pihak pembela gagal mengemukakan keraguan munasabah pada akhir kesnya.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Yong untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu mengemukakan rayuan.

Mahkamah juga membenarkan Yong diikat jamin RM30,000, dengan seorang penjamin, dan memerintahkan dia menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Dalam penghakimannya, Abdul Wahab berkata hukuman berat sepatutnya dikenakan ke atas Yong agar ia menjadi teladan kepada beliau dan orang lain.

“Sebagai majikan, beliau sepatutnya orang yang menyediakan perlindungan terhadap pembantu rumahnya, bukan orang yang tunduk kepada nafsu seksual untuk melakukan jenayah tersebut,” tambahnya.

Pada 31 Mac lalu, pihak pembelaan yang diketuai peguam Datuk Rajpal Singh bersama Salim Bashir menutup kes mereka selepas memanggil tiga saksi iaitu Yong, 52, isterinya Too Choon Looi, 46, dan bapa saudara pembantu rumah itu Muhammad Rusdi, 51.

Yong didakwa merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di dalam bilik di tingkat satu rumahnya di Taman Meru Desa antara 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Pertuduhan yang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Pasukan pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Perak Azlina Rasdi, bersama Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri Sadarudin.

Sementara itu, Junjungan Sigalingging, setiausaha Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur, ketika ditemui di luar mahkamah, berkata beliau berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang disifatkannya adil.