SEPANG, 27 Mei (Bernama) | Tugas pegawai imigresen di tiga depoh tahanan imigresen di Bukit Jalil, Semenyih dan Sepang yang sedang menjalani kuarantin di rumah telah diambil alih oleh pegawai daripada ibu pejabat Jabatan Imigresen dan negeri berkaitan, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.
Katanya walaupun ujian saringan mendapati mereka negatif COVID-19, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengarahkan pegawai terbabit menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing.
“Seramai 238 pegawai terlibat (dikuarantin di rumah) jadi mereka tidak boleh datang bertugas. Bagi mengatasi masalah ini, saya telah mengaktifkan pelan kesinambungan perkhidmatan yang bertujuan memastikan pengurusan keselamatan dan kebajikan pegawai yang terlibat di tiga depoh ini terjaga dan pengurusan harian tetap berjalan seperti biasa,” katanya kepada Bernama.
Khairul Dzaimee berkata susulan daripada pengaktifan pelan itu, pegawai daripada ibu pejabat Jabatan Imigresen dan negeri berkaitan diarahkan bertugas dan mengambil alih pengurusan di ketiga-tiga depoh berkenaan.
“Alhamdulillah, semua pegawai imigresen yang terlibat telah mengorbankan cuti raya mereka dan datang bertugas dalam masa 24 jam, jadi pengurusan terutamanya dari segi keselamatan di depoh tahanan berjalan lancar seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata di bawah pelan tersebut, Jabatan Imigresen akan mendapatkan bantuan agensi keselamatan lain sekiranya para pegawai yang terlibat juga terpaksa dikuarantin.
“Kami akan mendapatkan bantuan Anggota Ikatan Sukarelawan Rakyat (Rela), kalau Rela tak mencukupi kita akan minta pihak polis untuk datang membantu dari segi kawalan keselamatan,” katanya.
Terdahulu, Khairul Dzaimee melakukan lawatan di depoh tahanan imigresen di Sepang, Bukit Jalil dan Semenyih bagi meninjau aspek keselamatan di setiap depoh tahanan yang dijangkiti COVID-19.
Katanya aspek kebajikan warga asing tetap diberi perhatian dengan memastikan mereka yang sakit segera diberi rawatan.
Selain itu, pihak pengurusan turut mengambil tindakan pengasingan blok bagi mengurangkan risiko jangkitan wabak COVID-19 di depoh-depoh berkenaan.
KKM sebelum ini mengesan tiga kluster jangkitan COVID-19 melibatkan depoh tahanan imigresen di Sepang, Bukit Jalil dan Semenyih.