‘Peja’ Dalam Sindrom Penafian – Datuk Saarani

Reading Time: < 1 minute

SUNGAI SIPUT: Isu usaha mahu menjatuhkan YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu nampaknya masih belum reda lagi apabila ia terus dimainkan Ketua Pembangkang.

Meskipun perkara itu telahpun dinafikan oleh Menteri Besar sendiri kelmarin namun ia masih diulangi oleh Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamed agar Menteri Besar mengambil tindakan yang sepatutnya.

Pada sesi Program Mengopi Bersama Datuk Seri Saarani Mohamed (DSM) di Perlop 2, Sungai Siput pagi tadi, Saarani memberitahu pemberita bahawa Ahmad Faizal dikatakan mengetahui usaha mahu menjatuhkannya namun masih menafikannya atas sebab politik.

“Ahmad Faizal buat-buat tidak tahu mengenai perkara itu atas sebab politik,” katanya.

Menurut Saarani,  malah perkara itu diketahui oleh dua bekas wakil rakyat UMNO yang menyokong pelantikan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar iaitu ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohd.Radzi dan  ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

“Dia tahu… Apabila benda ini berlaku (gerakan jatuhkan Menteri Besar) saya secara jujur menghantar maklumat kepada mereka.Nolee dan Zainol pun tahu perkara ini.

 “Saya buat demikian dengan tujuan untuk dia (Ahmad Faizal) mengambil tindakan sepatutnya kerana dia berada dalam keadaan terumbang-ambing dan kerajaan seperti ini tidak baik untuk rakyat.

“Tapi nampaknya dia dalam sindrom penafian walaupun dia tahu,” kata Saarani.

Semalam Ahmad Faizal sekali lagi menafikan wujud gerakan untuk menjatuhkannya yang dikatakan dilakukan oleh Exco kerajaan negeri.

Ahmad Faizal berkata, cerita kononnya ada ADUN atau Exco kerajaan negeri yang tidak setia datangnya daripada Saarani.

Pada pada program anjuran Pemuda UMNO Perak itu, Datuk Saarani yang juga ADUN Kota Tampan berkata, UMNO dan PAS telah memulakan siri jelajah penerangan `pemuafakatan UMNO-PAS’  di peringkat akar umbi.

“Pagi ini saya berada di Perlop 2, Sungai Siput … malam ini pula saya akan ke Tapah,” ujarnya.