`Peja’ Mahu Penyelaras DUN Menangi Hati Rakyat Tidak Tikam Belakang

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu mengingatkan 28 Penyelaras DUN yang baru dilantik mengatur gerak kerja mantap untuk memenangi hati rakyat dan tidak bertindak ‘tikam belakang’.

Menurut beliau, kejayaan Pakatan Harapan (PH) menubuh kerajaan hari ini bukan atas hasil usaha seorang individu tetapi usaha berpasukan.

Katanya, adalah tidak wajar bagi seseorang pemimpin bertindak memecah-belahkan pasukan hanya untuk kepentingan peribadi.

“Saya ingatkan kepada semua termasuk diri saya bahawa kita bekerja sebagai satu pasukan dan kejayaan menubuhkan kerajaan ini bukan hanya kerana seorang individu sebaliknya dilakukan atas usaha berpasukan.

“Oleh itu bagi memelihara dan mengurus kejayaan tersebut, satu perkara penting adalah jangan kita berpecah-belah dan menikam dari belakang serta melakukan usaha-usaha yang tidak berguna hanya untuk kepentingan diri sendiri,’’ katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian  semasa berucap di Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan Penyelaras DUN Negeri Perak di Dewan Banquet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.

Hadir sama semua barisan Exco kerajaan negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Abu Bakar Said dan ketua-ketua pegawai kanan kerajaan negeri.

Seramai 28 Penyelaras DUN yang dilantik itu melibatkan kawasan yang dimenangi pembangkang termasuk DUN Pangkor, Kota Tampan, Pengkalan Hulu, Hutan Melintang, Changkat Jering, Air Kuning dan Gunung Semanggol.  

 Ahmad Faizal seterusnya berkata, perlantikan Penyelaras DUN ini bukan satu keistimewaan tetapi satu amanah dengan memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat.

Justeru itu beliau meminta  mereka memikul tanggungjawab besar ini sebaik mungkin dan mengelak dari mengulangi kesilapan-kesilapan pentadbiran terdahulu.

“Jangan sesekali terbuai dengan kuasa yang diamanahkan kepada kita kerana zaman pemimpin dijunjung dan ditatang oleh rakyat telah berlalu.

“Kita perlu insaf bahawa kita adalah hamba kepada rakyat dan bukan sebaliknya,” katanya.