BATU GAJAH: Sejajar dengan pembentukan kerajaan Harapan begitu jugalah besarnya harapan rakyat untuk melihat kerajaan negeri Perak pimpinan YAB Ahmad Faizal Dato’ Azumu melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat.
Mungkin permasalahan rakyat yang dibangkitkan adalah pelbagai namun seperti mana yang pernah diucapkan YAB Menteri Besar, kerajaan akan berusaha sebaik mungkin selagi yang termampu untuk menuntaskan permasalahan rakyat.
Isu terbaharu yang dirasakan perlu diberi perhatian dan sokongan segera oleh kerajaan negeri mengenai Rumah Orang-Orang Tua Islam Titian Abadi (Pekita), Jalan Lahat yang amat memerlukan segera sebuah bangunan kediaman bagi menempatkan seramai 26 penghuni orang tua dan warga emas Islam.
Menurut Pengerusinya, Haji Ahmad Wan Chik, penghuni sedia ada kini ditempatkan di pusat jagaan itu dalam sebuah bangunan yang disewa selama empat tahun dalam keadaan kurang selesa.
“Kami amat sedih melihat keadaan tempat mereka yang tidak selesa… bilik air dan tempat tidur sempit… Mereka tidak selesa untuk menghabiskan sisa-sisa hidup mereka di sini,’’ katanya kepada Independent pada Sabtu.
Menurut Haji Ahmad lagi, hampir setiap hari banyak panggilan beliau terima daripada individu dan pihak keluarga yang hendak menghantar orang tua mereka ke pusat jagaan di sini namun terpaksa ditolak kerana keadaan bangunan yang sempit dan tidak selesa.
Beliau menjelaskan, empat tahun lalu kerajaan negeri terdahulu telah memberi sebidang tanah kepada Pekita seluas dua ekar di Ara Payung untuk didirikan sebuah bangunan namun tidak dapat dilaksanakan kerana kekangan kewangan.
“Sudah empat tahun tanah diluluskan tapi kami tidak dapat mendirikan bangunan kami untuk menempatkan 26 penghuni dalam suasana selesa kerana kekangan kewangan,’’ katanya.
Haji Ahmad menjelaskan Pekita yang dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hanya diberi geran tahunan RM30,000 yang sudah tentunya tidak cukup untuk mengurus belanja bulanan hampir RM9,000 sebulan.
“Kita amat perlukan sumbangan daripada rakan-rakan di luar sana… Saya juga mengharapkan kerajaan (Pakatan) Harapan dapat sekiranya menghulurkan sumbangan berupa wang tunai ataupun menyediakan sebuah rumah bagi kami dengan kadar segera.’’ katanya.
Haji Ahmad berkata, mereka yang ingin menyumbang bantuan boleh menyalurkan bantuan melalui akaun Bank Muaamalat bernombor 08040003058715 atau menghubunginya di nombor 013-4793223 atau isterinya Puan Zarina di 017-5519570.