Pembangunan Perumahan Perlu Selaras Dasar Kuota Bumiputera – Yong

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Pembangunan perumahan yang dilaksanakan di Perak perlu selaras dengan dasar kuota Bumiputera sepertimana yang ditetapkan dalam perkara kedua daripada tujuh wasiat Raja-Raja Melayu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Negeri, Yong Choo Kiong, ini penting supaya keseimbangan permintaan dan penawaran mengikut harga rumah dan masyarakat dapat diperolehi.

Namun begitu, kata beliau bagi tujuan keadilan kepada pemaju yang menanggung risiko hartanah Bumiputera yang tak terjual, jabatan dan agensi berkaitan boleh melihat kembali pengurusan kuota Bumiputera supaya segala urusan berkaitan dapat dipermudahkan.

Katanya, sehingga kini dasar perumahan yang dilaksanakan menetapkan agihan komponen pembangunan kepada 10 peratus pembangunan rumah kos rendah (di bawah harga RM70,001.00), 20 peratus pembangunan rumah kos sederhana (berharga antara RM140.001.00 hingga RM250,000.00) dan 50 peratus pembangunan rumah pada harga terbuka.

“Komponen pembangunan ini hanya tertakluk kepada kawasan skim perumahan yang melebihi 20 ekar tanah…Dasar ini dibuat bagi membolehkan semua golongan masyarakat dari B40,M40 dan T20 berpeluang mendapat penawaran rumah yang mesra dimiliki di Perak,’’ katanya.

Yong berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Bengkel Dasar Perumahan Negeri Perak 2018 di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh pada Selasa.

Selain itu kata Yong, proses pra pembangunan yang agak panjang memberikan kenaikkan kos operasi pembangunan perumahan kerana bayaran faedah pembiayaan daripada institusi kewangan.

Katanya, proses pra pembangunan seperti kelulusan kebenaran merancang, pelan bangunan, pengelauran hak milik yang dikatakan mencecah antara 4 bulan hingga 12 bulan akan meningkatkan kos dan masa perancangan pembangunan perumahan.

“Untuk itu agensi kerajaan perlu melihat kembali proses kerjaya supaya penambahbaikan dapat dilaksanakan bagi membantu industri perumahan berjalan lancar,’’ katanya.