Tujuh Premis Terbiar di Pekan Tapah Timbulkan Tanda Tanya… PBT Harus Bertindak

Reading Time: < 1 minute

TAPAH: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam era kerajaan baharu Pakatan Harapan perlu sentiasa peka dan tidak `leka’ terutama dalam soal penguatkuasaan undang-undang.

Namun apa yang berlaku di kawasan Pekan Tapah dalam pentadbiran Majlis Daerah Tapah, masih terdapat tujuh premis yang tidak lagi diberikan lesen perniagaan sejak setahun lalu tinggal terbiar dalam keadaan `sakit mata memandang’.

Lebih ketara lagi kewujudan premis terbiar ini yang dibina atas jalan bersebelahan bangunan baru KU-3 Hotel Bajet Tapah di Jalan Stesen dilihat menganggu perjalanan lalu lintas kenderaan di pekan berkenaan.

Difahamkan sebelum ini orang ramai termasuk pengunjung luar merungut dan tertanya-tanya bagaimana pekan Tapah yang sedang melalui proses pembangunan pesat masih lagi mempunyai premis-premis terbiar yang sepatutnya dirobohkan.

“Apa yang pihak PBT buat?… Sepatutnya premis terbiar ini diruntuhkan kerana menyalahi peraturan undang-undang dimana ia dibina atas jalan yang mengganggu lalu lintas.

”Saya menghadapi kesukaran untuk meletak kereta kerana terganggu dengan kedudukan deretan premis terbiar ini dan terpaksa mencari tapak meletak kereta di kawasan yang agak jauh untuk pergi membeli-belah.” kata seorang pengunjung luar yang enggan namanya disiarkan.

Baru-baru ini Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Negeri, Yong Choo Kiong menegaskan kerajaan menerusi PBT akan bertindak tegas meroboh premis yang dikenalpasti dibina di atas jalan kerana menganggu lalu lintas.

Sebubungan itu beliau meminta 15 PBT di negeri ini mengadakan program turun padang bertemu pelanggan setiap bulan bagi mendekati masyarakat dan memahami permasalahan yang dibangkitkan dan segera mengambil tindakan penyelesaian.

Yong memberikan contoh menerusi program turun padang di Jalan Kuala Kangsar bagi meninjau sebuah bangunan yang telah dibina di atas jalan di kawasan berhampiran Jalan Kuala Kangsar yang memerlukan penilaian dan penyelesaian semula untuk kepentingan masyarakat.

“Kalau kita tidak tengok, kita tidak fahami permasalahan sebenar tapi bila sudah melihat baru kita fahaminya,” katanya.