Pemeriksaan saringan boleh dilakukan di Hospital ATM

Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 22 Mac  — Orang awam yang mempunyai simptom dijangkiti COVID-19 boleh membuat pemeriksaan saringan di Hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM), menurut Kementerian Pertahanan.

Dalam satu kenyataan menjawab soalan lazim (FAQ) mengenai Perintah Kawalan Pergerakan, kementerian itu bagaimanapun memaklumkan pemeriksaan pengesahan hanya boleh dilakukan di hospital yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kenyataan itu turut memaklumkan segala urusan bantuan kebajikan kepada warga veteran ATM juga akan terus dilaksanakan.

“Semua bantuan kebajikan termasuk di negeri yang dimohon dan memenuhi syarat ditetapkan akan diproses mengikut garis panduan dalam tempoh masa ditetapkan seperti biasa.

“Bantuan kebajikan itu termasuk Bantuan Sara Hidup, Bantuan Peralatan Pesakit, Bantuan Bencana Alam, Kemasukan Ke Universiti Awam/Politeknik dan Bantuan Persekolahan,” menurutnya.

Perintah Kawalan Pergerakan yang diisytihar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac bertujuan mengekang penularan COVID-19 di negara ini. Perintah itu berkuat kuasa dari 18 hingga 31 Mac di seluruh negara.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan memaklumkan kaunter khidmat pelanggan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM di setiap bahagian dan negeri tidak beroperasi sepanjang perintah tersebut.

Bagaimanapun, sebarang urusan atau permohonan masih boleh dibuat secara dalam talian dengan menghubungi talian hotline JHEV di nombor 03-2050 8000 atau melalui e-mel www.jhev_atm.com.

Selain itu, urusan pencen kepada warga veteran ATM akan berjalan seperti biasa.

Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut orang awam boleh menghubungi talian hotline yang disediakan di 03-2059 8400 atau melayari media sosial rasmi Kementerian Pertahanan dan ATM.

— BERNAMA