Kes Tertinggi Koronavirus Direkod Hari Ini Sejak 15 Mac

Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA | Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media di sini hari ini berkata 212 lagi kes baru koronavirus direkodkan hari ini manakala 4 kematian menjadikan jumlah kes kematian mencecah 14.

“Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 adalah sebanyak 1,518 kes.

“Berdasarkan siasatan awal daripada 212 kes baru dilaporkan hari ini, sebanyak 123 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Sri Petaling,” katanya.

Jumlah 212 ini adalah catatan tertinggi direkodkan dalam sehari berbanding 190 sebelum ini.

Daripada jumlah itu, 57 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi di mana 27 memerlukan alat bantuan pernafasan.

4 kes kematian terdiri dari seorang lelaki berumur 70 yang mempunyai rekod perjalanan ke luar negara, seorang lagi lelaki berumur 70 yang mempunyai kontak rapat dengan kluster tabligh, seorang lelaki berumur 49 tahun yang merupakan anak kepada seorang wanita berumur 79 tahun yang meninggal dunia kerana Covid-19 di Sarawak dan seorang wanita berumur 51 tahun yang merupakan kontak rapat kepada kluster tabligh yang dirawat di Miri, Sarawak.

Dr Noor Hisham menambah sebanyak 20 kes telah pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah yang telah pulih seramai 159 orang.