MTUC Kritik Langkah Kerajaan Benarkan Pengeluaran KWSP

Reading Time: < 1 minute

Pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh mengeluarkan wang simpanan mereka sebanyak RM500 sebulan sehingga 12 bulan mendapat kritikan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Langkah itu dilihat akan mengurangkan jumlah dividen tahunan dan menyusutkan jumlah simpanan jangka panjang ahli KWSP.

Setiausaha MTUC, J. Solomon berkata langkah itu akan membenarkan ahli mengeluarkan wang simpanan hari tua dan membelanjakannya pada waktu ini.

Dalam erti kata lain, kerajaan menggunakan simpanan pekerja untuk menyuntik dana sekurang-kurangnya RM50 bilion ke dalam ekonomi bagi tempoh 12 bulan akan datang.

“Ia seperti merompak simpanan sendiri berikutan kegagalan kerajaan melindungi rakyat,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri semasa sidang media petang tadi mengumumkan seramai 12 juta pencarum KWSP berumur bawah 55 tahun boleh mengeluarkan wang simpanan dari akaun 2 mereka pada kadar maksima RM500 sebulan sehingga 12 bulan. Permohonan untuk pengeluaran akan dibuka bermula 1 April ini.

Menurut Perdana Menteri, ini akan membolehkan golongan pekerja mempunyai wang untuk membeli barangan keperluan harian pada waktu yang sukar ini.