Perak Peruntuk RM20 Ribu Setiap ADUN

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Kerajaan negeri Perak menyediakan peruntukan khas sebanyak RM1.18 juta kepada semua 59 ADUN di negeri ini untuk membantu penduduk di kawasan masing-masing yang mata pencariannya terjejas oleh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata peruntukan itu akan disalurkan kepada ADUN termasuk pembangkang dan Bebas, masing-masing sebanyak RM20,000 bermula esok.

“Ia sedang diproses oleh Pejabat Kewangan negeri. Semua orang akan menerima jumlah dana yang sama untuk digunakan bagi mereka yang memerlukan di masa-masa sukar ini, “katanya ketika hadir sebagai tetamu dalam wawancara dengan radio Perak FM di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata setakat ini, Dana Bencana Kerajaan Perak menerima sumbangan sebanyak RM800,000 dari pelbagai pihak, termasuk dari sektor swasta.

Ahmad Faizal berkata dana itu akan digunakan untuk membantu petugas barisan hadapan seperti doktor, jururawat, polis, anggota Pasukan Pertahanan Awam dan Kor Rela (Rela), serta orang lain yang bekerja sepanjang masa menangani krisis koronavirus.

“Kami akan memberi bantuan kewangan atau wang saku kepada mereka,” katanya, sambil menambah bahawa satu juta sarung tangan akan diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Perak esok.

Untuk bantuan lain yang diumumkan oleh kerajaan negeri sebelum ini, Ahmad Faizal berkata orang ramai boleh menghubungi pejabat daerah masing-masing untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Sebelum ini, Ahmad Faizal telah mengumumkan beberapa inisiatif, termasuk satu bantuan khas sebanyak RM500 untuk 4,000 penjaja dan peniaga kecil yang telah berdaftar dengan kerajaan tempatan.