IPOH | Malaysian Relief Agency (MRA Perak), sebuah pertubuhan bukan kerajaan tampil menghulurkan bantuan dalam meringankan beban golongan pelajar menghadapi Perintah Pelaksanaan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu.
Menyedari kesulitan yang dihadapi para pelajar IPT yang tidak dapat pulang ke kampung masing-masing dan kesukaran mendapatkan bekalan makanan sejak pelaksanaan PKP, MRA Perak pada Ahad (22 Mac) telah mengambil inisiatif mengunjungi 10 buah rumah yang didiami 74 pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta di sekitar Taman Cempaka, Ipoh.
Bekalan makanan dan keperluan harian seperti beras, sardin, gula, bawang, biskut, minyak masak, milo serta kit kebersihan diagihkan kepada para pelajar.
Turut serta dalam kunjungan itu ialah AJK MRA Perak, Ida Zulida Abdullah dibantu oleh Haji Azmi Ahmad, Nurqistina Tihani Ahmad Syukri, Nor Afrizah Aziz serta Muhammad Akmal Muhammad Kamal.
Menurut jurucakap MRA Perak, Ida Zulida, sumbangan untuk program ini diterima daripada orang ramai. Untuk menjayakan misi ini MRA Perak telah diberi surat pelepasan oleh Balai Polis Sg Siput dan IPD Ipoh.
Sukarelawan MRA telah mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan dengan mematuhi jarak sosial dengan orang lain lebih kurang satu meter.
“Pelajar yang terkesan dengan situasi penularan wabak Covid-19 dan penguatkuasaan PKP amat bersyukur dengan kehadiran sukarelawan MRA Perak dan mengucapkan terima kasih semasa menerima bantuan tersebut.
“Bahkan ada pelajar yang telah mencatu bekalan makanan. Ada di antara mereka yang begitu takut untuk keluar rumah dan menyarankan agar petugas MRA meletakkan barangan tersebut di luar pagar rumah mereka,” katanya.
Zulida berharap sumbangan ini dapat meringankan beban kewangan pelajar selain memastikan mereka mematuhi PKP.
Pengerusi MRA Perak Prof Dr Abdul Karim Russ Hassan menyatakan langkah-langkah pencegahan telah diambil oleh sukarelawan MRA Perak untuk membantu mereka yang berada di dalam kesulitan. Program ini akan diperluaskan dari masa ke semasa mengikut keperluan.
MRA Perak kini sedang berusaha untuk mendapatkan penutup muka dan mulut (face mask), kit kebersihan serta sanitiser untuk diagihkan kepada petugas dan sukarelawan MRA yang berada di lapangan.