Pemilik Rumah Kecewa Masalah Banjir Sejak Bertahun Gagal Diselesaikan MBI

Reading Time: 3 minutes

TAMBUN: Seorang wartawan dan jurufoto sebuah portal tempatan telah menzahirkan rasa kecewa apabila rumah yang baru dibinanya di Kampung Tersusun Batu 4, Tambun digenangi air hampir sekaki dalam kejadian banjir baru-baru ini.


Menurut Adzhar Ali, wartawan Independent.my lebih mendukacitakan banyak barangan rumah termasuk almari yang baru dibeli, rak-rak buku dan kabinet televisyen musnah sehingga beliau terpaksa menanggung kerugian.

Adzhar menunjukkan lokais longkang dikambus oleh kontraktor tidak bertanggungjawab
Longkang yang ditimbus (tanda merah)


Katanya, isu banjir yang berlaku itu sebenarnya berpunca daripada satu saluran parit menuju ke sebuah masjid berhampiran rumahnya yang telah ditutupi atau disimenkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan air longkang tidak dapat mengalir dengan sempurna, melimpah ke halaman rumah hingga masuk ke dalam rumah selepas hujan lebat baru-baru ini.
Rumahnya terletak di persimpangan pertemuan 3 longkang.

Gambar diambil selepas air hampir surut


“Air banjir hampir sekaki telah masuk ke dalam rumah menyebabkan banyak perabot diperbuat dari kayu musnah antaranya almari pakaian dan kabinet televisyen.” ujarnya.
Menurut Adzhar lagi, sejak kejadian banjir setiap tahun, beliau telah membuat sepuluh aduan kepada pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) namun sehingga kini tiada tindakan penyelesaian dibuat dan banjir masih berlaku saban tahun. Aduan lama pula sudah ‘lenyap’ tidak boleh ditemui di dalam laman sesawang MBI. Status aduan yang lalu ditanda sebagai ‘telah diselesaikan’. Beliau yang tidak berpuas hati telah membuat satu laporan polis supaya pihak MBI menyelesaikan masalah ini dengan segera.


“MBI sebagai pihak berkuasa tempatan yang diberi tanggungjawab berkhidmat untuk rakyat melalui peranan penting pegawai-pegawai yang terbabit serta ahli majlis yang dilantik sepatutnya turun padang, melihat sendiri aduan saya yang telah masuk kali ke-12 sejak 3 tahun lalu.


“Malangnya batang hidung mereka pun tidak nampak sampai ke hari ini… apabila dihubungi, pegawai yang terlibat tidak ada kerana sedang berkursus. Ini kali kedua mereka beri alasan pergi kursus,” ujarnya.


“Lebih menyakitkan hati, apabila seorang jurutera MBI yang terlibat mendakwa untuk mengorek semula longkang memerlukan peruntukan, proses mendapatkan peruntukan adalah sukar. Bukankah itu tugas dan tanggungjawab mereka?” soalnya kehairanan.
Beliau turut mengadu masalah yang sama kepada ahli majlis kawasan berkenaan, Puan Puteri Holijah Mohamad Rali yang merupakan Ketua Srikandi Bersatu Tambun merangkap Timbalan Ketua Srikandi Bersatu Perak dan katanya akan datang melawat pada hari Ahad yang lalu namun beliau juga tidak menunjukkan batang hidungnya. Setelah berkali-kali panggilan telefon dibuat beliau tidak menjawab.


Hanya wakil rakyat Hulu Kinta, Mohamad Arafat ada menghantar wakilnya untuk melawat ke lokasi banjir pada malam peristiwa banjir.


Adzhar merupakan salah seorang penduduk yang telah lama mendirikan rumah di kampung tersebut namun rumahnya masih tidak dapat didiami kerana masalah banjir setiap tahun. Beliau terpaksa menyewa rumah lain sehingga ke hari ini. Katanya, masalah banjir boleh diselesaikan dengan mudah kalau aliran longkang yang dikambus di masjid baru itu dibuka semula.


“Hanya perlu korek beberapa meter sahaja untuk mengalirkan air longkang ke luar… cukup mudah tapi perkara semudah itu gagal dilaksanakan kerana semua pihak tidak peduli.
“Selagi masalah banjir tak selesai, saya terpaksa tinggal di rumah sewa walaupun sudah memiliki rumah sendiri,” katanya.


Beliau terpaksa membayar dua kos kediaman setiap bulan, satu bayaran rumah sewa yang didiami ketika ini dan satu lagi bayaran pinjaman rumah yang mengalami masalah banjir ini.
“Sejak masjid baru (masjid Saidina Umar Al-Khattab Kpg Tersusun Batu 4 Tambun) dibina, pihak kontraktor telah menutup laluan longkang yang asal di belakang surau lama menyebabkan air akan berkumpul dan melimpah hingga masuk ke dalam rumah setiap kali hujan lebat,” katanya kecewa.