Pemuda Amanah dan Pemuda PH Tampil Buat Laporan Polis Isu Surat Sokongan

Reading Time: < 1 minute

Pemuda AMANAH Nasional bersama Pemuda Pakatan Harapan hari ini tampil membuat satu laporan polis di Balai Polis Slim River berkaitan sepucuk surat sokongan yang dihantar oleh Timbalan Menteri kepada seorang Menteri Kanan memohon supaya anaknya dilantik sebagai ahli lembaga pengarah sebuah syarikat di bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Menurut Timbalan Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Howard Lee, ini bukan saja satu tuduhan malah satu bukti dari segi salah guna kuasa.

“Perkara ini tidak boleh dipandang enteng.

“Isu yang lebih besar adalah ketika anak muda ketika ini sukar mendapatkan pekerjaan ekoran krisis pandemik, ada seorang Timbalan Menteri yang meminta kerja untuk anaknya menggunakan ‘kabel’ menghantar surat sokongan kepada seorang menteri.

“Rakyat biasa susah nak dapat kerja, cara ini pula digunakan oleh golongan politik yang berkuasa.

“Inilah hakikat antara dua darjat, “katanya.

Beliau hadir ke balai polis Slim River hari ini bersama Pemuda AMANAH Nasional membuat satu laporan meminta supaya pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya kerana menurutnya perkara sebegini sepatutnya tidak boleh dibenarkan berlaku.

“Kita tidak boleh membenarkan amalan yang teruk dan tidak baik ini berleluasa di dalam institusi kerajaan, “tambahnya.