Pemuda AMANAH Perak Bidas Pihak Bermain Politik Dalam Pengagihan Bantuan

Reading Time: 2 minutes

Dalam keadaan rakyat jelata terpaksa berdepan dengan kesukaran mendapatkan bekalan makanan, ada pihak yang masih sanggup mengambil kesempatan bermain politik dengan melakukan tindakan yang lebih bersifat kepartian dalam menghulurkan bantuan. Selepas mempertikaikan pendirian parti PAS berkenaan BMF, hari ini Pemuda Amanah Perak menyelar tindakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang membenarkan parti–parti Perikatan Nasional (PN) mengagihkan Bakul Makanan yang sepatutnya diedarkan oleh setiap 222 Ahli Parlimen.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan, perkara ini terbukti dengan tersebarnya gambar kotak makanan yang tertera logo parti PAS dan perkataan ‘PAS Parit Buntar’ untuk agihan di parlimen Parit Buntar serta sebaran melalui aplikasi Whatsapp bagi parlimen Lumut menyatakan sebanyak 250 bakul makanan diedarkan melalui Ketua Bahagian Bersatu Lumut. Kedua-dua kawasan parlimen tersebut sepatutnya diwakili oleh ahli parlimen dari parti AMANAH (Pakatan Harapan).

Pesanan Whatsapp yang dikatakan untuk pengagihan di parlimen Lumut diserahkan kepada Ketua Bahagian Bersatu

Tindakan ini didakwa bertentangan dengan makluman awal KPWKM yang menyatakan bakul makanan itu akan diagihkan oleh setiap ahli parlimen dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat, Rela dan Pertahanan Awam.

“…Tindakan ini hanya bermotif politik yang mana menidakkan peranan ahli parlimen yang telah dipilih oleh rakyat secara sah.

“Pemuda AMANAH negeri Perak juga khuatir agihan tersebut akan hanya mengutamakan ahli – ahli parti PN semata-mata berbanding matlamat asal untuk membantu keluarga B40 yang terkesan ekoran COVID-19,” menurut kenyataan itu.

Pemuda AMANAH juga menggesa agihan makanan ini turut melibatkan semua ahli parlimen dalam memastikan tiada tiada keluarga B40 yang tercicir dan menyeru supaya tiada pihak yang cuba bermain politik ketika wabak masih belum berakhir.