Penduduk digalak tanam cendawan Volvariella, permintaan tinggi

Reading Time: 2 minutes

BAGAN SERAI, 12 Mei (Bernama) — SRG Agro Berhad menggalakkan penduduk untuk memajukan tanaman cendawan jenis Volvariella kerana ia mendapat permintaan yang tinggi di pasaran terutama di China.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Shah Mohd Radzi, 39, berkata ini kerana cendawan tersebut boleh menghasilkan produk hiliran seperti teh, burger dan perisa makanan berasaskan cendawan itu.

Beliau berkata setakat ini lima negeri iaitu Perak, Johor, Pahang, Negeri Sembilan dan Kelantan membabitkan 2,000 peserta telah berminat untuk memajukan tanaman itu.

“Kami telah mengumpul peserta dalam tempoh empat bulan dengan penyertaan golongan belia dan warga emas yang mahu mengusahakan tanaman itu.

“Cendawan Volvariella yang menggunakan tisu kultur ini mudah ditanam di atas batas dan tanda kelapa sawit kerana kesukaran untuk mendapatkan habuk kayu. Ia mudah membiak dan dalam tempoh dua minggu boleh mendapatkan hasilnya,” katanya kepada media ketika ditemui pada Program Usahawan Ladang Kontrak di Selinsing dekat sini hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak Abdul Yunus Jamsari.

Shah berkata pihaknya memperuntukkan RM1.5 juta bagi fasa pertama tanaman itu dengan setiap negeri disertai 400 hingga 500 peserta dan mereka diberikan dana untuk menjalani kursus, benih serta tapak bagi mengusahakan tanaman berkenaan yang membabitkan sembilan fasa.

“Hasil tanaman itu kami akan beli daripada usahawan dan usahawan perlu menandatangani perjanjian selama lima tahun dengan kami. Harga runcit bagi cendawan itu ialah antara RM16 hingga RM20 sekilo.

“Usahawan boleh memperoleh pendapatan RM2,400 sebulan dan mereka tidak dibenarkan menjual cendawan itu kepada orang tengah. Cendawan yang kami beli itu, kami akan proses untuk dijadikan produk seperti teh, burger dan perisa makanan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan mengeksport produk itu ke Korea, Taiwan, Jepun serta China yang memerlukan 40 metrik tan cendawan tersebut.

Menurut Shah, pihaknya juga mengenai pasti 19 kawasan tanah terbiar di Perak untuk memajukan tanaman cendawan tersebut.

“Kami memerlukan banyak bekalan cendawan ini dan kerana itu kami buka peluang kepada usahawan untuk mengusahakannya,” katanya yang mahu menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri Perak untuk memajukan tanaman itu.

Sementara itu, Abdul Yunus berkata kerajaan negeri sedia memberi peluang kepada rakyat untuk menceburi bidang pertanian bagi membantu kerajaan mengurangkan import produk makanan.

Beliau berkata pihaknya sedia berbincang dengan mana-mana pihak yang berminat untuk memajukan bidang pertanian kerana negeri itu mempunyai banyak tanah terbiar yang boleh diusahakan dengan pelbagai jenis tanaman dan sayur-sayuran.

Katanya, melalui usaha itu juga akan memberikan peluang pekerjaan dan sekali gus menjana pendapatan di samping dapat membekalkan keperluan makanan kepada rakyat.

— BERNAMA