Setahun Yang Mencabar, MB Tidak Mahu Ulangi Kesilapan Kerajaan Dahulu

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau dan kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan negeri tidak mahu mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan oleh kepimpinan kerajaan terdahulu kerana rakyat sudah tentu menolak sikap pemimpin sedemikian.

Beliau juga menganggap tempoh setahun pemerintahan kerajaan negeri di bawah pimpinannya sebagai amat mencabar kerana berdepan dengan pelbagai pengalaman pahit dan manis.

Namun begitu, katanya, dalam tempoh itu, kerajaan Perak dapat mengenal pasti kekuatan, kelemahan serta ancaman dan peluang yang ada untuk diambil tindakan seterusnya pada masa akan datang.

Menurut Ahmad Faizal, antara kenangan pahit yang dihadapinya apabila terdapat segelintir rakan seperjuangannya yang telah lari dari landasan perjuangan asal mereka selepas berjaya menubuhkan sebuah kerajaan.

“Dulu sewaktu kami bersama-sama menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), perjuangan kami adalah untuk melawan kerajaan kleptokrat demi rakyat dan apabila kami telah berjaya terdapat pula segelintir pemimpin yang telah lari daripada fokus utama kami.

“Saya melihat mereka sebagai seorang pejuang, dan apabila Allah memberikan sedikit ganjaran apabila berjaya menubuhkan kerajaan, mereka sudah melupakan misi dan visi kami.

“Kita tidak mahu ulangi apa yang telah berlaku pada kerajaan dahulu, saya memenangi pilihan raya di Parlimen Tambun dan juga DUN Chenderiang bukan kerana saya popular,

“Tiada siapa yang mengenali saya pada waktu itu, akan tetapi saya berjaya kerana rakyat menolak sikap pemimpin kerajaan yang terdahulu, oleh itu kita janganlah mengikut sikap sebegitu dan apabila ada yang buat sebegitu saya rasa cukup sedih,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita pada sesi temubual khas Setahun Kerajaan Pakatan Harapan Perak di Kediaman Rasmi Lama Menteri Besar Perak, Ipoh pada Ahad..

Pada perkembangan sama, Ahmad Faizal turut berkata bahawa rakyat negeri ini amat bertuah kerana mempunyai seorang Sultan yang amat prihatin terhadap rakyat dan negerinya.

Beliau amat kagum apabila sentiasa mendapat kerjasama dan nasihat berguna yang diberikan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan ia merupakan kenangan manis yang tidak dapat dibeli olehnya.

“Sebagai seorang Menteri Besar yang tidak mempunyai pengalaman dan apabila saya menghadap baginda dalam acara mingguan kami, untuk berbincang perihal kerajaan negeri, baginda akan sentiasa menasihati saya untuk menjaga kedudukan saya sendiri supaya tidak dikecam.

“Pada pandangan saya, baginda merupakan pemimpin yang amat hebat dan saya yakin rakyat Perak juga mempunyai pendirian yang sama seperti saya,” katanya .