Mayat warga emas ditemui di tanah lapang

Reading Time: < 1 minute

IPOH, 14 Mei (Bernama) — Mayat seorang wanita warga emas ditemui di kawasan tanah lapang tertutup berhampiran sebuah pangsapuri di Bercham di sini, petang ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Mohd Ali Tamby berkata mayat wanita berusia lewat 80-an itu ditemui oleh orang awam kira-kira pukul 2.30 petang.

“Sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati terdapat mayat seorang wanita yang masih lengkap berpakaian. Terdapat kesan luka dan calar di badan mangsa namun tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, setakat ini, pihaknya tidak menemui sebarang unsur jenayah pada mayat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga tampil membantu siasatan, katanya.

— BERNAMA