KUALA KANGSAR, 11 Nov– Jambatan Manong di sini sepanjang 307 meter akan dibuka dalam tempoh terdekat, selepas mendapat kelulusan Kementerian Kerja Raya.
Sehubungan itu, Exco Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak Datuk Abdul Yunus Jamahri menasihatkan penduduk, supaya tidak menggunakan jambatan itu pada masa kini kerana ia belum dibuka kepada orang ramai. “Kita tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sesuatu insiden kemalangan di atas jambatan itu,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak di sini hari ini. Abdul Yunus berkata dengan pembukaan jambatan bernilai RM39.5 juta itu, ia memudahkan penduduk Seberang Manong untuk ke pekan Manong. “Ia juga dapat menjimatkan perjalanan daripada 45 minit kepada 15 minit, kerana sebelum ini penduduk terpaksa menggunakan jalan lain untuk ke pekan Manong. “Dengan siapnya jambatan ini akan memberikan impak ekonomi kepada penduduk berulang alik dari Kampung Seberang Manong ke pekan Manong untuk pelbagai urusan,” katanya. Abdul Yunus berkata jambatan dua lorong dengan lebar jalan 11.5 meter dibina Syarikat Awam Bina Sdn Bhd pada Julai 2017 dan siap pada 25 Okt lepas. — BERNAMA |
|
Reading Time: < 1 minute
2019-11-12