Penduduk Lega Pembinaan Krematorium Dibatalkan

Reading Time: 2 minutes

19 Julai 2024, Tambun – Penduduk Bandar Baru Tambun dan sekitarnya boleh menarik nafas lega selepas kerisauan mereka tentang kemungkinan kewujudan tempat pembakaran mayat (krematorium) dan penyimpanan abu mayat (kolumbarium) mendapat jaminan tidak akan dibenarkan dari ADUN Hulu Kinta, Muhammad Arafat hari ini.

Ini berikutan perbincangan antara ADUN, wakil Majlis Bandaraya Ipoh dengan jawatan kuasa penduduk Bandar Baru Tambun telah membuahkan hasil memutuskan untuk membatalkan kelulusan yang diberi baru-baru ini yang kononnya untuk membaik pulih bumbung bangunan sedia ada.

“Saya memahami kegusaran yang dirasai oleh penduduk tentang aktiviti pembinaan yang sedang berlaku di sini. Sebelum ini kebenaran diberi oleh pihak Majlis Bandaraya Ipoh untuk ‘membaik pulih bumbung yang bocor’, kemudian saya difahamkan mereka melakukan kerja-kerja lain (yang tidak berkaitan dengan bumbung).

“Perkara ini telah diselesaikan dan MBI telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM5,000 terhadap pemilik bangunan… Hari ini kita telah noktahkan bahawa operasi krematorium tidak akan berlaku di sini dan tidak perlu dirisaukan.

“Operasi pembakaran mayat tidak akan berlaku di sini saya beri jaminan selagi saya menjadi wakil rakyat di sini, saya akan pastikan untuk tidak ada krematorium di kawasan ini, ” tegas Arafat.

Mengikut rekod, bangunan ini telah dibina sejak 2013 dan telah diwartakan untuk kegunaan kolumbarium dan krematorium tetapi belum beroperasi sejak itu. Lokasi bangunan terletak tidak jauh dari kawasan penduduk iaitu tidak sampai 100 meter dari kawasan rumah kedai dan kediaman.

“Sejak menjadi wakil rakyat hanya baru² ini rakyat berjumpa dengan saya mengadukan masalah ini dan saya telah meminta MBI membatalkan pewartaan (pada 2013) itu,” jelas beliau.

Petak dipercayai tempat pembakaran mayat di sebelah timur

Tinjauan wartawan Independent mendapati di dalam bangunan yang sedang dalam proses ‘membaik pulih’ itu, terdapat ratusan rak kaca berbentuk kotak yang dipasang pada dinding dipercayai bakal digunakan sebagai tempat menyimpan bekas abu mayat manakala di sebelah kiri bangunan pula terdapat 3 petak konkrit dipercayai akan dijadikan tempat pembakaran mayat.