IPOH | Inisiatif kerajaan untuk membangunkan penempatan `Desa Agro’ bersama Perak Agro Valley jelas membuktikan kerajaan begitu komited memberi peluang kepada rakyat yang kurang berkemampuan untuk mengubah kehidupan mereka.
Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ini sekaligus menyangkal dakwaan pihak pembangkang kononnya kerajaan negeri tidak memberi perhatian kepada sektor pertanian dalam Belanjawan Negeri kerana mengurangkan peruntukan kepada sektor pertanian.
“Ingin saya jelaskan di sini bahawa tindakan ini adalah supaya kita dapat menyelaraskan peruntukan yang bersesuaian dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 oleh kerajaan Persekutuan yang akan dilaksanakan bermula 2021.
“Adalah lebih munasabah jika kerajaan negeri menyelaraskan peruntukan sektor pertanian negeri bagi tahun 2021 supaya selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0.
“Dengan ini kerajaan negeri dapat mengoptimumkan impak peruntukan secara lebih tersasar sekaligus benar-benar membantu para petani dan usahawan tani di negeri ini meningkatkan pendapatan mereka di samping mengurangkan pembaziran atau pertindihan dalam perbelanjaan negeri,’’ katanya.
Ahmad Faizal berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Pelancaran Perak SADC AgroFest 2019 dan Pelancaran Direktori PPPNP di Ipoh pada Jumaat. Hadir sama Exco Pertanian, Datuk Abdul Yunus Jamhari dan KetuaPegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahya.
Menurut beliau, selain itu kerajaan negeri dan PPPNP juga sedang mengkaji dan belajar daripada kesilapan-kesilapan yang berlaku dalam pentadbiran sebelum ini sehingga menyebabkan beberapa projek pertanian berskala besar dengan pelaburan bernilai puluhan juta ringgit gagal mencapai sasaran.
“Bukan sahaja ia tidak dapat meningkatkan produktiviti sektor pertanian negeri, malahan lebih menyedihkan lagi golongan sasar yang sepatutnya dibantu tidak menikmati manfaat seperti yang dijanjikan sepenuhnya.
“Malahan lebih menyedihkan ada di antara mereka yang meninggalkan kawasan projek-projek ini kerana para pelabur telah menarik diri daripada usaha sama yang diwujudkan dengan kerajaan negeri terdahulu.
“Seperti mana ungkapan Tun Dr Mahathir, `kita tidak hanya belajar daripada kejayaan orang lain, tetapi kita juga belajar daripada kegagalan orang lain.
“Justeru pentadbiran ini akan cuba melakukan yang terbaik untuk mengelakkan daripada mengulangi kesilapan-kesilapan kerajaan sebelum ini, supaya kita benar-benar dapat membantu golongan sasar dan memajukan sector pertanian negeri,’’ ujarnya.